BANDAR RAYA NEW YORK – Sebuah fosil dinosaur Tyrannosaurus rex (T-Rex) berusia 67 juta tahun dijual pada harga AS$50.1 juta (RM203.7 juta) oleh firma lelongan Sotheby’s di negeri New York, lapor stesen penyiaran BBC semalam.
Ia adalah fosil dinosaur termahal dunia. Dinamakan Gus, fosil tinggi lebih 4 meter itu salah satu spesimen T-Rex paling sempurna pernah ditemui, dengan lebih 60 peratus rangkanya berjaya dipulihkan.
Identiti pembida yang berjaya tidak didedahkan, demikian menurut Sotheby’s.
Gus ditemui di sebuah ladang terpencil di negeri Dakota Selatan pada 2021, dengan proses penggalian dilakukan selama tiga musim panas antara 2021 hinga 2023 kerana keadaan tanah hanya sesuai digali semasa cuaca panas.
Masa tiga tahun perlu untuk mencantumkan semula rangka Gus.
“Gus bukan sahaja penemuan luar biasa, malah spesimen ini digali, didokumentasikan dan dipulihara pada tahap profesionalisme yang tinggi,” kata Ketua Sains Global dan Sejarah Semula Jadi Sotheby’s, Cassandra Hatton.
Jualan Gus mengatasi rekod fosil stegosaurus pada 2024, dan merupakan spesimen dinosaur pertama melepasi angka lelongan AS$50 juta (RM203.3 juta). – AGENSI















