PARIS – Sebuah beg kulit diperbuat daripada sel dinosaur Tyrannosaurus rex gagal dijual semalam, kata firma lelongan Drouot, mengulas bahawa bidaan adalah jauh di bawah jangkaan.
Juru lelong Giquello menguar-uarkan beg unik itu untuk dijual pada harga lebih AS$500,000 (RM2 juta) tetapi bidaan diterima hampir tidak mencecah paras AS$150,000 (RM609,075), kata Drouot di Paris di mana lelongan itu berlangsung.
Diperkenalkan pada musim bunga di Amsterdam, beg itu dihasilkan daripada kesan kolagen daripada tulang femur T-Rex yang ditemui di negeri Montana, Amerika Syarikat, 25 tahun lalu.
“Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kami membangunkan teknik bioteknologi yang membolehkan kami menternak kultur sel untuk menghasilkan, secara kiasan, kulit T-Rex tulen di dalam makmal,” kata pakar paleontologi yang dikaitkan dengan jualan itu, Iacopo Briano, baru-baru ini kepada AFP.
Beliau berkata, bahan itu berbeza daripada kulit vegan, yang kebanyakannya diperbuat daripada plastik.
“Dalam kes ini, ia diperoleh daripada kultur sel, jadi ia adalah 100 peratus kulit dan pada masa yang sama, ia datang daripada haiwan yang telah pupus 67 juta tahun dahulu!” kata Briano. – AFP














