KUALA LUMPUR – Sebanyak 199 projek Penarafan Hijau (pH) Jabatan Kerja Raya (JKR) berjaya melaksanakan penilaian pembangunan lestari sehingga tahun lalu, dengan projek bangunan yang dinilai merekodkan pengurangan pelepasan karbon sebanyak 44 peratus.
Pelaksanaan pH JKR yang merupakan antara inisiatif penting kementerian itu turut merekodkan pengurangan pelepasan karbon secara purata sebanyak 44 peratus bagi projek bangunan yang dinilai, bersamaan 1.53 juta kilogram Carbon Dioxide Equivalent (CO₂e) setahun.
Selain itu, sebanyak 46 projek bangunan dan 44 projek jalan turut mengguna pakai Green Product Scoring System (GPSS) bagi menggalakkan penggunaan produk hijau dalam pelaksanaan projek JKR.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kelestarian bukan lagi satu pilihan atau pelengkap kepada pembangunan, sebaliknya merupakan satu tanggungjawab yang perlu menjadi prinsip asas dalam pembangunan negara.
“Kelestarian bukan lagi satu pilihan dan pelengkap kepada pembangunan. Ia merupakan satu tanggungjawab. Ia perlu menjadi prinsip asas yang memimpin setiap perancangan, reka bentuk, pembinaan, penyelenggaraan dan pengoperasian aset kerajaan,” katanya ketika merasmikan Program pH JKR Day 2026 bertemakan ‘Standard Diperkukuh, Kelestarian Diperkasa’ di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid, hari ini.
Menurut beliau, JKR tidak hanya bertanggungjawab membina jalan raya, jambatan, bangunan kerajaan dan pelbagai kemudahan awam, malah memastikan setiap aset kerajaan dibangunkan mengikut standard tertinggi.
“Kita tidak mahu sekadar membina projek yang siap mengikut jadual, tetapi kita mahu membina legasi yang mampu bertahan merentasi generasi,” ujarnya.
Pada majlis itu, Kementerian Kerja Raya turut melancarkan tiga inisiatif strategik JKR iaitu Polisi Pembangunan Lestari JKR, Standard JKR/SIRIM 2:2025 pH JKR Bangunan dan Sistem e-pH JKR bagi memperkukuh tadbir urus pembangunan mampan, menyeragamkan pelaksanaan penarafan hijau serta mempercepat transformasi digital.
Tambahnya, pematuhan terhadap standard penting bagi memastikan setiap projek memenuhi tahap kualiti yang ditetapkan.
“Apabila standard diperkukuh, kualiti akan meningkat. Apabila kualiti meningkat, keyakinan rakyat terhadap perkhidmatan kerajaan turut diperkukuh,” katanya.
Mengulas lanjut, Alexander berkata, sebanyak 52 projek telah memperoleh penarafan pembangunan lestari JKR setakat 2024, dengan 49 daripadanya melibatkan projek jalan.
Katanya, pencapaian itu merupakan permulaan dan beliau berharap lebih banyak projek kerajaan, pihak berkuasa tempatan (PBT) serta sektor swasta mengguna pakai piawaian tersebut pada masa hadapan.
“Saya berharap pada masa akan datang lebih banyak lagi projek yang patuh kepada standard yang kita tetapkan,” katanya. -KOSMO! ONLINE















