fbpx
Ahmad (tengah) bersalaman dengan Onn Hafiz ketika hadir pada Majlis Pelancaran JETP di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor Bahru, baru-baru ini.

JETP buka lembaran baharu pembangunan Johor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Pelan Transformasi Ekonomi Johor (JETP) dilihat sebagai satu langkah strategik dan berpandangan jauh yang mampu membawa Johor ke arah status negeri maju menjelang tahun 2030.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Johor, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan berkata, pelan tersebut bukan sekadar memberi fokus kepada pertumbuhan ekonomi semata-mata, malah menekankan pembangunan menyeluruh yang memberi manfaat terus kepada rakyat menerusi peluang pekerjaan, pembangunan modal insan, pelaburan, perniagaan serta peningkatan taraf hidup.

Jelasnya, JETP yang dilancarkan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, dianggap sebagai perubahan besar atau ‘game changer’ dalam landskap pembangunan negeri kerana ia melibatkan perancangan jangka panjang yang tersusun bagi semua 10 daerah di Johor.

“Antara sektor utama yang diberi penekanan menerusi pelan ini termasuk industri kimia dan petrokimia, tenaga, elektronik dan pusat data, aeroangkasa, logistik, pelancongan, penjagaan kesihatan serta pertanian.

“Pelaksanaan JETP berpotensi membuka lebih banyak peluang pekerjaan berpendapatan tinggi kepada rakyat Johor selain menarik pelaburan baharu yang dapat merancakkan ekonomi negeri.

Pendekatan inklusif yang diterapkan melalui JETP juga memperlihatkan usaha kerajaan negeri dalam memastikan pembangunan bukan sahaja tertumpu kepada aspek ekonomi, tetapi turut melibatkan urus tadbir, jaringan keselamatan sosial, kemudahan asas, kelestarian alam sekitar dan pembangunan golongan muda,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, usaha bersepadu melibatkan kerajaan negeri, penjawat awam, sektor swasta, ahli akademik serta masyarakat akar umbi juga dilihat penting dalam memastikan matlamat meningkatkan saiz ekonomi Johor daripada RM158 bilion kepada RM201 bilion menjelang tahun 2030 dapat direalisasikan.

Katanya, dengan perancangan yang jelas dan pelaksanaan yang berkesan, JETP diyakini mampu menjadi pemangkin kepada kemajuan Johor serta mewujudkan Bangsa Johor yang lebih maju, berdaya saing dan sejahtera pada masa hadapan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN