fbpx
Shukri ketika ditemui media pada program itu di Taman Alam Budiman, Shah Alam. - FOTO ISKANDAR SHAH MOHAMED/ KOSMO!

34 sekolah Selangor dapat blok bilik darjah baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Sebanyak 34 sekolah rendah di Selangor akan menerima blok bilik darjah baharu satu tingkat yang dijangka siap selewat-lewatnya Disember ini bagi menampung kemasukan murid Tahun Satu sesi persekolahan tahun depan.

Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri, Ir. Shukri Ishak berkata, projek bernilai RM179 juta itu sedang giat dilaksanakan dengan kebanyakan daripadanya kini berada dalam fasa pembinaan.

Menurutnya, hanya sembilan projek masih di peringkat perolehan manakala selebihnya telah memasuki tapak pembinaan.

“Keutamaan diberikan bagi blok satu tingkat supaya ia dapat digunakan bagi menampung kemasukan murid kelak. Semua projek itu dijangka siap pada November atau Disember tahun ini,” katanya ketika ditemui pada sesi dialog bersama penduduk Taman Alam Budiman di sini, hari ini.

Shukri berkata, projek pembinaan blok bilik darjah dua tingkat pula dijangka siap pada suku kedua tahun depan berikutan proses pembinaannya lebih kompleks.

“Kemajuan projek berbeza mengikut lokasi dengan sebahagiannya memasuki peringkat pembinaan dinding dan pemasangan kekuda bumbung manakala selebihnya di peringkat asas pembinaan,” ujarnya.

Kosmo! sebelum ini melaporkan sebanyak 102 sekolah di Selangor dikenal pasti bagi pembinaan bilik darjah baharu untuk menampung kemasukan Murid Tahun 1 berusia enam tahun di negeri ini.

Setakat ini, sebanyak 41 iklan sebut harga telah dikeluarkan menerusi peruntukan Kementerian Pendidikan (KPM) dengan pelaksanaan projek dipercepatkan terutama di sekolah yang mempunyai kepadatan murid tinggi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN