fbpx
Mohamad Norhan menunjukkan tempoyak yang dihasilkan ketika ditemui di Kampung Chennah, di Jelebu semalam. – Nor Ainna Hamzah

Tempoyak penyelamat durian tak laku

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JELEBU – Lambakan durian pada musim kali ini membuatkan peraih di Kampung Chennah di sini memproses lebihan buah menjadi tempoyak, sekali gus menyelamatkan mereka daripada mengalami kerugian.

Mohamad Norhan Surik, 34, berkata, jualan durian segar tahun ini agak perlahan berikutan bekalan yang terlalu banyak sehingga menyebabkan sebahagian buah tidak sempat dijual.

Katanya, durian yang terlebih masak akan diproses menjadi tempoyak dan dijual pada harga RM8 sebekas.

“Tempoyak Kenaboi memang ada peminat tersendiri serta menjadi bahan masakan walaupun di luar musim durian.

“Sejak pertengahan Jun lalu, kami boleh hasilkan tujuh kilogram (kg) durian menggunakan 40 kilogram durian untuk dijual di kedai-kedai makan atau orang ramai,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Kampung Chennah, di sini semalam.

Menurut Mohamad Norhan, musim ini mereka mengeluarkan hingga 20 tan durian, namun jualan harian merosot kepada 500 kg sehari.

Tambahnya, pengguna sema­kin memilih dan mahukan harga murah dan memaksa mereka menjadi kreatif untuk menjual durian di tapak perkhemahan yang menjadi tumpuan pengunjung.

“Kalau hanya bergantung kepada peraih, memang sukar kerana bekalan terlalu banyak. Jadi kami jual terus kepada pe­ngunjung yang datang berkhemah di jeram-jeram berdekatan. Sekurang-kurangnya buah dapat dihabiskan dan tidak rosak begitu sahaja,” katanya.

Ujar Mohamad Norhan, selain durian kampung yang dijual se­rendah RM2.50 sekilogram, pe­langgan turut mendapatkan varieti premium seperti Black Thorn, IOI dan Udang Merah dengan harga RM13 sekilogram.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN