MIAMI – Ketua pasukan England, Harry Kane menggesa pasukannya agar mencari semua kelemahan dan menutupnya untuk mereka menamatkan penantian menjulang trofi Piala Dunia menjelang aksi separuh akhir.
Pasukan kendalian Thomas Tuchel itu mengesahkan tempat ke kelompok empat pasukan terbaik selepas mencatat kemenangan ke atas Norway dan dijadual turun menentang Argentina pada awal pagi Khamis ini.
Ini merupakan penampilan kedua England di separuh akhir dalam tiga edisi Piala Dunia, selepas mara ke peringkat sama pada 2018 selain mereka juga muncul naib juara dalam dua Kejohanan Euro berturut-turut.
“Ini merupakan era yang sangat berjaya buat pasukan kebangsaan kami. Sudah tentu kami mahu melepasi garisan penamat. Itulah satu-satunya perkara yang masih belum kami capai.
“Kami semakin hampir. Kami kerap mara ke separuh akhir dan final. Minggu ini amat penting. Kami hanya mempunyai beberapa hari sahaja lagi dalam kejohanan ini.
“Kami sudah bersama selama enam minggu dan telah menunjukkan sepenuh hati serta semangat juang demi lencana negara. Kami memerlukan dorongan yang lebih besar lagi untuk minggu terakhir ini.
“Akhirnya, kami berada di separuh akhir Piala Dunia dan itu bukan sesuatu yang sentiasa berlaku kepada pasukan kebangsaan England. Jadi, kami perlu menikmati detik ini,” katanya Kane. – AGENSI















