LONDON – Manchester City berdepan cabaran daripada Liverpool dan Arsenal ketika mereka bersedia mendapatkan khidmat pemain tengah Lille, Ayyoub Bouaddi.
Pemain antarabangsa Maghribi itu muncul sebagai sasaran utama pelbagai kelab elit Eropah dengan beberapa kelab sudah mengadakan rundingan bersama Lille mengenai kemungkinan perpindahan.
Pengurus baharu City, Enzo Maresca, bersama pihak kelab sedang berusaha untuk melihat sama ada mereka mampu mencapai persetujuan bagi membawa pemain muda berbakat itu ke Etihad menjelang musim 2026/27.
Bouaddi yang beraksi sebagai pemain tengah bertahan, merekodkan satu bantuan gol dalam 30 penampilan Ligue 1 musim lalu dan biarpun masih muda, dia telah pun mengumpulkan lebih daripada 60 penampilan dalam liga utama Perancis.
Beberapa pemain tengah ternama telah berpindah kelab dengan nilai perpindahan yang sangat tinggi pada jendela perpindahan musim panas ini dan Bouaddi dijangka berpotensi menyertai senarai tersebut.
Sandro Tonali dan Elliot Anderson dilaporkan telah bertukar kelab dengan nilai perpindahan mencecah atau melebihi £100 juta, manakala Bouaddi turut dilihat sebagai salah seorang bintang muda baharu di posisi tengah yang semakin menyerlah.
Lille bersedia untuk melepaskan pemain muda berbakat mereka itu sebelum musim baharu bermula, namun hanya jika menerima tawaran yang benar-benar berbaloi.
Melihat kepada persaingan sengit daripada beberapa kelab besar Eropah untuk mendapatkan tandatangan Bouaddi, semakin besar kemungkinan Lille akan memperoleh keuntungan yang lumayan hasil penjualan pemain tersebut. – AGENSI














