PETALING JAYA – Malaysia Airlines terus memperkukuh rangkaian penerbangannya ke China menerusi pelancaran dua laluan terus baharu dari Kuala Lumpur ke Shenzhen dan Changsha bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap perjalanan antara kedua-dua negara.
Syarikat penerbangan nasional itu kini beroperasi ke sembilan pintu masuk di negara berkenaan termasuk Beijing, Shanghai, Guangzhou, Xiamen, Hong Kong, Taipei, Chengdu.
Penerbangan sulung ke Shenzhen bermula pada 1 Julai lalu menerusi penerbangan MH522 yang berlepas dari Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), manakala laluan ke Changsha dilancarkan pada 8 Julai menerusi penerbangan MH520.
Kedua-dua laluan dikendalikan sehingga tujuh kali seminggu menggunakan pesawat Boeing 737-8.
Ketua Pegawai Eksekutif, Perniagaan Penerbangan Malaysia Aviation Group (MAG), Bryan Foong berkata, pelancaran laluan ke Shenzhen dan Changsha merupakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha syarikat memperluaskan rangkaian di pasaran China.
“Melalui hubungan terus ke hab serantau yang berkembang pesat ini, kami bukan sahaja menawarkan kemudahan perjalanan yang lebih baik kepada pelanggan, malah menyokong pengukuhan hubungan perniagaan, pelancongan dan hubungan antara rakyat kedua-dua negara.
“Ketika Malaysia mengalu-alukan lebih ramai pelawat sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, peluasan rangkaian ini turut menyokong aspirasi menjadikan Kuala Lumpur sebagai hab penerbangan utama ke Asia dan destinasi lain,” katanya dalam kenyatan hari ini.
Bagi meraikan pelancaran laluan baharu, Malaysia Airlines menawarkan tambang promosi pergi balik bermula RM1,088 bagi semua penerbangan ke Shenzhen dan Changsha sehingga 8 Ogos 2026. – KOSMO! ONLINE














