ULU Sepia di hulu Sungai Tembeling, Taman Negara Pahang merupakan antara lokasi pancingan ikan kelah yang masih utuh di negara kita. Namun perjalanan ke destinasi itu memerlukan pemancing memerah kederat melalui perjalanan menjerihkan.
Atas faktor itu, setiap ekspedisi memburu ikan kelah memerlukan perancangan yang rapi, tahap kecergasan baik serta pemilihan teknik pancingan tepat supaya trip jadi berbaloi dengan usaha dan kos telah dilaburkan.
Bulan April lalu, kami berempat memulakan ekspedisi selama lima hari empat malam ke Ulu Sepia dengan bantuan ‘guide’ tempatan, Hakam.
Objektif utama trip ini cukup jelas iaitu memburu ikan kelah dengan menggewang. Namun seperti kebanyakan trip ke sungai pergunungan, kami turut menyediakan pelan kedua sekiranya keadaan tidak memihak umpan tiruan tersebut.
Menguji ketahanan
Perjalanan kami bermula dari Melaka menuju ke Kampung Gusai, Pahang yang mengambil masa sekitar lapan jam. Dari situ, perjalanan diteruskan dengan menaiki bot menuju lokasi lubuk yang mengambil masa selama hampir satu setengah hari.
Perjalanan itu bukan sekadar menguji ketahanan fizikal, malah memerlukan setiap ahli membawa sendiri kelengkapan memancing, makanan dan peralatan perkhemahan.
Sebagai ganjaran, segala penat lelah hilang dan diganti dengan keceriaan sebaik sahaja tiba di lokasi berupa lubuk-lubuk sungai masih jernih dan dikelilingi hutan hujan tropika yang kekal terpelihara.
Memandangkan sasaran utama adalah ikan kelah, kami memilih penggunaan set pancing ringan yang lebih menyeronokkan ketika bertarung dengan ikan, walaupun keputusan ini sebenarnya boleh mengundang berputih mata jika ikan berjaya memutuskan tali.
Tetapi ada sebab kami memilih set pancing kelas ringan. Ini kerana, ia memberikan persembahan gewang yang lebih semula jadi serta pemancing akan rasa sensitif ketika membaca getuan ikan.
Sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan ikan terlepas, penggunaan set sebegini memerlukan kawalan drag yang tepat kerana kelah terkenal dengan pecutan mengejut sebaik sahaja mata kail tertancap.
Selain itu, kami tetap membawa umpan sawit peram sebagai alternatif sekiranya ikan kelah kurang memberikan sambutan terhadap gewang.
Membaca lubuk
Sepanjang ekspedisi, kami lebih menumpukan perhatian di kawasan selekoh jeram yang mempunyai banyak struktur reba.
Lokasi seperti ini lazimnya menjadi tempat ikan kelah menunggu makanannya hanyut melintasi. Arus yang sedikit perlahan di bahagian tepi tebing sungai, digabungkan dengan struktur kayu tumbang dan batu besar, menjadikan kawasan seperti ini antara lubuk terbaik bagi mendapatkan ikan kelah.
Namun, struktur reba itu juga menjadi cabaran utama kerana selalunya ikan kelah akan segera meluru ke kawasan tersebut selepas terkena mata kail.

Hari pertama, cuaca cukup baik dengan keadaan sungai yang tenang.
Namun hujan lebat pada sebelah petang pada hari kedua dan ketiga sedikit mengubah corak pancingan.
Walaupun hujan turun dengan agak lebat, namun keadaan air masih kekal jernih.
Faktor ini menyebabkan kelah menjadi lebih culas dan kurang agresif mengejar gewang. Pelbagai jenis gewang dicuba di kawasan jeram dan lubuk dalam, namun sambutan yang diterima hambar.
Situasi ini membuktikan bahawa dalam dunia pancingan ikan kelah, kejernihan air juga memainkan peranan penting terhadap keberkesanan teknik mengilat.
Bertukar strategi
Melihat keadaan yang kurang menggalakkan, kami mengambil keputusan menukar teknik kepada pancing dasar menggunakan sawit peram bagi mengelakkan pulang tohong.
Keputusan tersebut ternyata tepat apabila seekor ikan kelah berjaya memakan umpan. Sebaik sahaja umpan diragut, joran terus melentur dan ikan memecut laju menuju ke arah reba berdekatan.
Dalam keadaan sebegini, pemancing perlu segera mengawal tekanan tali tanpa memberi ruang kepada ikan memasuki struktur kayu.
Menggunakan set ringan menjadikan pertarungan lebih mencabar kerana setiap henjutan ikan dapat dirasai dengan jelas. Mujur kerjasama antara ahli trip dan kawalan drag yang betul membolehkan ikan berjaya didaratkan.
Beberapa ekor ikan lagi menyusul selepas itu membolehkan kami merasa keenakan isinya apabila dimasak sebagai hidangan pada baki hari trip.
Pengajaran
Trip kali ini sekali lagi membuktikan bahawa pemancing tidak boleh terlalu bergantung kepada satu teknik pancingan sahaja. Sentiasa berubah cara pancingan apabila keadaan memerlukan banyak membantu kejayaan sesuatu trip.
Walaupun objektif asal adalah untuk memperoleh kelah menggunakan gewang, namun faktor cuaca dan keadaan air memaksa kami mengubah strategi.
Keputusan membawa umpan alternatif akhirnya menjadi penyelamat kepada trip.
Dalam pancingan di sungai pergunungan, kemampuan membaca keadaan air, memilih lubuk serta menyesuaikan teknik merupakan faktor yang lebih penting daripada sekadar memilih gewang mahal.
Ekspedisi ke Ulu Sepia bukan sahaja menghadiahkan ikan kelah yang menjadi idaman, malah memberikan pengalaman berharga menelusuri antara kawasan hutan hujan tropika yang masih terpelihara di negara ini.
Walaupun perjalanan masuk memerlukan pengorbanan masa dan tenaga, namun segala cabaran itu berbaloi apabila dapat menikmati keindahan alam semula jadi serta merasai sendiri tentangan sang ‘raja sungai’ di habitat asalnya.















