fbpx
KEADAAN murid lelaki yang dipercayai terjatuh dari siling tingkat tiga bangunan sebuah sekolah di Kuala Nerang, petang semalam.

Murid panjat siling cuba tangkap burung sebelum terjatuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA NERANG – Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah mengesahkan kejadian murid tahun lima yang cedera akibat terjatuh ketika cuba menangkap burung di ruang siling tingkat tiga bangunan sebuah sekolah rendah di sini semalam.

Menurut JPN negeri, kejadian berlaku selepas sesi persekolahan tamat apabila murid terbabit telah pulang ke rumah dan hadir semula ke sekolah bagi mengikuti Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) sesi petang.

“Murid berkenaan telah mengalami kecederaan dan tindakan segera diambil oleh pihak sekolah dengan mendapatkan bantuan kecemasan sebelum mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar bagi menerima rawatan lanjut,” katanya.

Kata kenyataan itu, JPN negeri akan memastikan kebajikan murid dan keluarga terus diberi perhatian termasuk menyediakan sokongan daripada aspek emosi, psikologi, khidmat bimbingan dan kaunseling serta bantuan lain bersesuaian.

“Intervensi sokongan emosi juga akan diberikan kepada murid-murid sekolah berkenaan bagi memastikan kesejahteraan mereka sentiasa terpelihara,” ujarnya.

JPN negeri menegaskan bahawa aspek keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan murid sentiasa menjadi keutamaan dan pemantauan secara berterusan terus ditingkatkan.

Difahamkan, mangsa sedar dan bangun sekejap selepas kejadian sebelum jatuh terbaring.

Murid berkenaan mengalami kecederaan di seluruh badan dan terdapat beberapa bahagian badan patah.

Kosmo! Online malam tadi melaporkan seorang murid lelaki tahun lima cedera selepas dipercayai terjatuh dari siling tingkat tiga bangunan sebuah sekolah di sini ketika mahu menangkap burung merpati pada petang semalam.

Dalam kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan pada anggota badan termasuk tangan kiri dan kini menerima rawatan di HSB.

Ketua Polis Daerah Padang Terap, Superintendan Mohd. Anuar Junoh berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian daripada seorang guru pada pukul 4 petang semalam.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian tersebut merupakan kemalangan sendiri dan tidak melibatkan sebarang unsur jenayah.

Mangsa dikatakan menggunakan laluan pili bomba untuk memanjat ke siling di tingkat tiga bangunan sekolah bagi menangkap burung merpati. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN