TAPAH – Pendaki wanita yang ditemukan selamat pada Sabtu, minggu lalu selepas dua minggu hilang di Gunung Batu Putih, Jaslinda Saludin, 49, dijangka keluar Wad Perempuan, Hospital Tapah hari ini.
Pengarah Hospital Tapah, Dr. Wan Immi Salim berkata, pemeriksaan terakhir akan dilakukan terhadap wanita itu sebelum keputusan terakhir dilakukan.
Difahamkan, ibu kepada dua anak tersebut dijangka keluar wad pada pukul 2 petang ini.
Jaslinda dimasukkan ke dalam hospital tersebut pada Sabtu minggu lalu selepas hilang selama dua minggu ketika menyertai ekspedisi pendakian Trans Spencer Chapman di Gunung Batu Putih bersama 13 rakan pendaki lain serta dua malim gunung, dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita itu diaktifkan bermula 25 Mei. – KOSMO! ONLINE














