fbpx
Gambar hiasan.

Gazet dulu kawasan lapang hijau, penguatkuasaan kemudian – Hannah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan memberi keutamaan kepada usaha mewartakan semua kawasan lapang hijau di ibu negara sebelum tindakan penguatkuasaan dijalankan bagi melindungi kawasan berkenaan daripada sebarang aktiviti pembangunan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, pasukan petugas khas kini sedang meneliti proses pewartaan semua kawasan hijau sebelum senarai lokasi tersebut diterbitkan untuk tatapan orang ramai.

“Kita telah menubuhkan satu pasukan petugas untuk melihat proses pewartaan kawasan hijau. Selepas semua kawasan itu diwartakan, kita akan menerbitkan senarai lokasi secara dalam talian supaya orang ramai tahu kawasan mana yang merupakan kawasan hijau yang telah diwartakan,” katanya

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan Downtown Kuala Lumpur Grants Programme 2026 di Odeon Kuala Lumpur, hari ini.

Menurutnya, langkah itu penting bagi membolehkan orang ramai mengenal pasti sekiranya terdapat sebarang aktiviti komersial dijalankan di kawasan hijau yang telah diwartakan.

“Keutamaan saya ialah gazet dahulu. Kalau kita tidak gazet dan tidak menerbitkan senarai itu, orang ramai tidak akan tahu kawasan mana yang sebenarnya merupakan ruang hijau yang perlu dilindungi,” katanya.

Beliau berkata, tindakan penguatkuasaan tetap akan dilaksanakan selepas proses pewartaan selesai dan meminta orang ramai bersabar sementara proses itu berjalan.

“Penguatkuasaan akan datang. Berilah sedikit masa kerana keutamaan sekarang ialah memastikan semua kawasan hijau itu diwartakan terlebih dahulu,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN