fbpx
Ketulan ganja dan bunga ganja seberat lebih 2.2 kg yang dirampas di dalam sebuah kereta dinaiki dua beradik di SJR Banggol Kong, Jeram Perdah dekat Pasir Mas semalam. FOTO IHSAN PGA

Dua beradik dicekup, tak sempat edar 2.2 kg ganja di ibu negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PASIR MAS – Hajat dua beradik untuk meraih keuntungan hasil mengedar dadah jenis ganja seberat lebih 2.2 kilogram (kg) bernilai RM76,000 di ibu negara tidak kesampaian apabila mereka dicekup anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) ketika melalui sekatan jalan raya (SJR) Banggol Kong, Jeram Perdah di sini semalam.

Kedua-dua lelaki berusia 25 dan 23 tahun itu ditahan kira-kira pukul 7 malam selepas mengambil bekalan kesemua ganja di Pengkalan Kubor, Tumpat dan sedang dalam perjalanan pulang semula ke Kuala Lumpur.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, sebelum rampasan dijalankan, anggota PGA mengarahkan sebuah kereta jenis Perodua Bezza dinaiki kedua-dua lelaki itu yang dipandu dalam keadaan mencurigakan berhenti ketika tiba di SJR berkenaan.

Katanya, pemeriksaan pada bahagian bawah tempat duduk pemandu, ruangan simpan barang papan pemuka dan bahagian simpanan tayar ganti di bonet belakang menjumpai 1.32 kg ketulan mampat disyaki ganja selain 906 gram ketulan disyaki bunga ganja.

“Siasatan lanjut mendapati, kedua-dua lelaki itu berasal dari Setiawangsa, Kuala Lumpur. Mereka berdua dipercayai bertolak pada malam kelmarin dari ibu negara ke Kelantan.

“Mereka mengaku mengambil bekalan ganja di Pengkalan Kubor untuk dibawa pulang dan dijual bagi pasaran Kuala Lumpur,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Ahmad Radzi memberitahu, siasatan lanjut mendapati, dua beradik itu mengambil kesemua bekalan ganja itu daripada seorang lelaki warga Thailand dikenali sebagai Ameen.

Menurutnya, mereka berhubung dengan lelaki itu menggunakan aplikasi WhatsApp sebelum dadah berkenaan diseludup ke negara ini dari Tak Bai, Thailand dengan bot melalui seorang lagi lelaki negara jiran dikenali sebagai Cop.

“Ujian saringan air kencing mendapati lelaki berusia 25 tahun yang mempunyai rekod jenayah lampau berkait Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 di Kuala Selangor, Selangor itu positif dadah jenis methamphetamine manakala adiknya positif dadah jenis tetrahydrocannabinol (THC),” ujarnya.

Beliau berkata, kedua-dua suspek bersama kesemua barangan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39(B) dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN