PETALING JAYA – Ketika ramai anak muda seusianya sedang membina kerjaya dan mengejar impian hidup, seorang wanita berusia 27 tahun dari Kampung Gali Hilir, Raub, Pahang berdepan ujian berat apabila disahkan menghidap kanser payudara tahap empat.
Nurul Jannatul Syazwani Mohamad telah menjalani pelbagai rawatan sejak setahun lalu bagi melawan penyakit tersebut dan kini memerlukan kira-kira RM85,000 untuk mendapatkan rawatan susulan di China.
Nasib menimpa wanita itu mendapat perhatian Kerajaan Negeri Pahang apabila Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, Fadzli Mohamad Kamal menziarahinya baru-baru ini.
Dalam lawatan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong berkenaan turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM10,000 yang diluluskan oleh Kerajaan Negeri Pahang bagi membantu menampung kos rawatan diperlukan.
Menurut Fadzli, sumbangan tersebut mencerminkan keprihatinan kerajaan negeri terhadap rakyat yang sedang berdepan ujian kesihatan dan kesukaran hidup.
“Kita berharap sumbangan ini dapat membantu meringankan sedikit beban yang ditanggung oleh Nurul Jannatul Syazwani dan keluarganya dalam usaha mendapatkan rawatan terbaik.
“Saya juga menyeru sahabat handai, kenalan dan orang ramai yang berkemampuan untuk turut membantu meringankan beban Syazwani,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank bernombor 556244123308 atas nama Nurul Jannatul Syazwani Mohamad. – KOSMO! ONLINE














