Pesakit diabetes yang mengalami luka kronik memerlukan pendekatan rawatan menyeluruh, bukan sekadar melibatkan permukaan kulit.

Rawat luka diabetes, elak anggota diamputasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BAGI pesakit diabetes yang mengalami luka serius pada kaki, perkataan amputasi atau pemotongan anggota badan pastinya menjadi antara perkara paling digeruni.

Lebih membimbangkan apabila luka yang pada awalnya kelihatan kecil bertukar menjadi serius akibat jangkitan, kerosakan tisu dan proses penyembuhan yang semakin perlahan.

Namun, bagi seorang doktor perubatan yang juga pengarah klinik, Dr. Raymond Rony Pav, keputusan untuk memotong kaki bukanlah sesuatu yang boleh dibuat secara terburu-buru tanpa terlebih dahulu menilai keadaan pesakit dan potensi anggota badan yang masih boleh diselamatkan.

Berbekalkan pengalaman dalam bidang ortopedik serta pembedahan plastik dan rekonstruktif, Dr. Raymond memberi tumpuan kepada rawatan luka kompleks, khususnya dalam kalangan pesakit diabetes, dengan matlamat memulihkan tisu yang rosak dan mengekalkan fungsi anggota badan semaksimum mungkin.

Menurutnya, pesakit diabetes yang mengalami luka kronik memerlukan pendekatan rawatan menyeluruh kerana masalah berkenaan bukan sekadar melibatkan permukaan kulit, sebaliknya boleh membabitkan jangkitan, kerosakan tisu serta gangguan peredaran darah.

“Ada pesakit yang datang dalam keadaan luka sudah teruk dan berisiko kehilangan kaki. Dalam situasi seperti ini, kami akan menilai terlebih dahulu punca masalah, tahap jangkitan serta keadaan tisu sebelum menentukan rawatan yang sesuai.

“Matlamat kami adalah menyelamatkan sebanyak mungkin bahagian anggota badan supaya pesakit masih boleh menggunakannya dan menjalani kehidupan seperti biasa,” katanya.

Jelas Dr. Raymond, rawatan tidak boleh dilakukan dengan hanya membuang bahagian yang rosak kerana punca utama masalah perlu dikenal pasti dan dikawal terlebih dahulu.

Antara langkah yang diambil ialah mengenal pasti jenis jangkitan, memberikan antibiotik bersesuaian serta melakukan penjagaan luka secara berperingkat.

Apabila jangkitan berjaya dikawal dan keadaan luka menunjukkan perkembangan positif, barulah prosedur membuang tisu yang telah rosak atau tidak lagi sihat dilakukan mengikut keperluan.

Pendekatan tersebut penting bagi memastikan tisu yang masih berpotensi untuk pulih dapat dikekalkan, sebelum rawatan seterusnya diberikan untuk merangsang pembentukan tisu baharu.

Foto menunjukkan sebelum dan selepas rawatan terapi oksigen pada luka pesakit diabetes.

Dalam usaha menyokong proses penyembuhan, kini kliniknya turut menawarkan Advanced Oxygen Wound Therapy iaitu rawatan penjagaan luka menggunakan teknologi oksigen berkepekatan tinggi.

Rawatan tersebut bertujuan membantu mewujudkan persekitaran luka yang lebih sesuai untuk penyembuhan serta menyokong pertumbuhan tisu baharu.

Ia turut digunakan sebagai sebahagian daripada pendekatan penjagaan bagi luka kaki diabetes, luka kronik, luka selepas pembedahan, luka tekanan dan kecederaan tertentu.

Bagaimanapun, Dr. Raymond menegaskan bahawa setiap pesakit memerlukan penilaian berbeza dan rawatan oksigen bukan penyelesaian tunggal bagi semua jenis luka.

Keadaan jangkitan, bekalan darah ke kawasan terjejas, tahap kerosakan tisu dan kawalan paras gula dalam darah perlu diberikan perhatian bagi memastikan rawatan lebih berkesan.

Bagi Dr. Raymond, setiap luka yang berjaya dipulihkan membawa makna tersendiri, lebih-lebih lagi apabila pesakit yang sebelum ini berdepan risiko kehilangan anggota badan berpeluang kembali menjalani kehidupan dengan lebih baik.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan pesakit diabetes supaya tidak menunggu sehingga luka menjadi serius sebelum mendapatkan pemeriksaan.

Luka kecil, lepuh, perubahan warna kulit, bengkak atau tanda jangkitan pada kaki perlu diberikan perhatian segera kerana rawatan awal boleh membantu mengurangkan risiko komplikasi.

Apa yang lebih penting, pesakit perlu memahami bahawa penjagaan diabetes bukan hanya tertumpu kepada pengambilan ubat dan kawalan gula, tetapi turut melibatkan pemeriksaan kaki secara berkala serta rawatan segera apabila berlaku kecederaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN