KUALA LUMPUR – Kementerian di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) mengajak orang ramai, kumpulan komuniti, usahawan kreatif dan pemegang taruh tampil mengemukakan idea baharu bagi menghidupkan semula pusat bandar menerusi Downtown Kuala Lumpur Grants Programme 2026.
Menterinya, Hannah Yeoh berkata, kerajaan mahu melihat lebih banyak aktiviti yang mampu menarik orang ramai kembali ke pusat bandar, selain usaha menaik taraf infrastruktur yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan dan sektor swasta.
“Kita berharap semua pihak yang mempunyai idea-idea baharu akan memohon geran ini. Think City akan mengeluarkan semua syarat permohonan dan kita mahu bekerjasama mendapatkan idea-idea baharu untuk menghidupkan Kuala Lumpur.
“Infrastruktur kerajaan dan pihak swasta sedang melabur untuk membina atau menaik taraf banyak bangunan, tetapi apa yang kita mahu dengar ialah jenis aktiviti yang dimahukan oleh pemegang taruh,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Downtown Kuala Lumpur Grants Programme 2026 di Odeon Kuala Lumpur, hari ini.
Menurutnya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga perlu meneruskan sesi libat urus bersama orang ramai bagi mendapatkan pandangan mereka terhadap pembangunan ibu negara.
“Saya mahu DBKL terus mengadakan town hall untuk mendengar pandangan dan idea daripada mereka yang bekerja, tinggal dan hidup di Kuala Lumpur,” katanya.
Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mat Ujud berkata, Kementerian Kewangan memperuntukkan dana RM1 juta bagi program itu dengan setiap projek yang berjaya akan menerima geran antara RM30,000 hingga RM100,000.
Katanya, semua permohonan akan diselaraskan oleh Think City dan syarat lengkap akan diumumkan menerusi kenyataan media.
“Tahun ini peruntukan sebanyak RM1 juta disediakan, namun kita akan melihat keperluan serta idea-idea baharu yang diterima. Kita akan memantau pelaksanaannya dan memberi maklum balas kepada Kementerian Kewangan,” katanya.
Pengarah Urusan Think City, Datuk Hamdan Abdul Majeed pula berkata, agensi itu akan menyelaras semua cadangan yang diterima supaya tidak berlaku pertindihan idea atau pembaziran sumber.
Hannah turut menjelaskan bahawa Downtown Kuala Lumpur Grants Programme 2026 bukan sekadar menyediakan pembiayaan, sebaliknya membuka peluang kepada komuniti, artis, usahawan dan perniagaan membentuk masa depan ibu negara secara bersama.
Dana RM1 juta itu menawarkan geran antara RM30,000 hingga RM100,000 bagi projek yang memulihkan kawasan pusat bandar Kuala Lumpur. – KOSMO! ONLINE














