IPOH – Seorang pengurus kilang kelapa sawit di Afrika Selatan berhadapan hukuman penjara lima tahun setelah dituduh di Mahkamah Majistret Ipoh hari ini secara tidak jujur menyembunyikan kedudukan stok sebenar minyak sawit mentah di Kilang Sawit Berau di Indonesia pada tahun 2024.
Pertuduhan terhadap lelaki berkenaan, T. R. Logeswaran, 39, itu dibacakan di hadapan Majistret Norizan Riduan.
Mengikut pertuduhan, Logeswaran melakukan kesalahan itu di antara 14 Mac 2024 hingga 21 Jun 2024 bertempat di Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK), Wisma Taiko dalam daerah Ipoh di negeri ini.
Logeswaran dituduh mengemukakan data pengeluaran minyak sawit mentah di dalam Summary of Production and Despatch Record (SPDR) dan Finished Goods System (FGS) berjumlah 741.618 metrik tan dengan niat untuk memperdayakan syarikat.
Ia bagi membolehkan dia menerima dan mengguna pakai kedudukan stok minyak tersebut.
Pendakwaan dilakukan di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan. Tertuduh mengaku tidak bersalah ke atas pendakwaan berkenaan.
Majistret menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan dua orang penjamin dan 6 Ogos depan sebagai tarikh serahan dokumen kes tersebut. – KOSMO! ONLINE














