KEMAMAN – Keceriaan seorang bapa muda membawa dua anak kecilnya menikmati makan malam berakhir tragedi apabila dia maut, manakala anaknya cedera setelah motosikal mereka naiki terlibat kemalangan di Jalan Kampung Cicar, Bukit Kuang di sini, malam tadi.
Dalam kemalangan pada pukul 9.10 malam itu, mangsa, Muhammad Zarol Che Aziz, 29, meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan kaki.
Dua anak lelakinya, Muhammad Nuh Zaim, 2, dan Muhammad Luth Ziyad, 6, yang membonceng motosikal tersebut pula cedera pada bahagian kepala dan beberapa anggota badan.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd. Razi Rosli berkata, sewaktu kejadian, Muhammad Zarol yang merupakan mekanik dan anak-anaknya dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Rumah Murah Awam Kos Rendah, Bukit Kuang, di sini.
“Motosikal jenis Yamaha 125ZR yang dinaiki tiga beranak tersebut dikatakan tiba-tiba memasuki laluan bertentangan sebelum dirempuh kenderaan pikap, Toyota Hilux yang gagal mengelak. Impak pelanggaran itu menyebabkan mangsa dan dua anaknya tercampak ke atas jalan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE














