PETALING JAYA – Seorang pramugari mencuri perhatian ramai apabila berpeluang berkhidmat bersama bapa dan abangnya yang merupakan juruterbang dalam penerbangan yang sama.
Menerusi sebuah hantaran oleh pengguna @aliailysha di laman Threads, wanita itu meluahkan rasa syukur kerana impiannya untuk terbang bersama dua insan tersayang menjadi kenyataan.
“Bertuahnya dapat terbang dengan ayah dan abang sempena hari jadi saya. Memang satu kenangan indah. Alhamdulillah, syukur! Perjalanan kali ini dihabiskan sebaiknya,” katanya.
Dalam satu lagi perkongsian, bapa kepada wanita itu yang merupakan seorang kapten turut meluahkan rasa bangga melihat kedua-dua anaknya berjaya mengikut jejak langkahnya dalam bidang penerbangan.
“Alhamdulillah. Satu detik membanggakan untuk setiap ayah. Mereka berdua bekerja keras untuk mencapai tahap ini. Ingat, kejayaan tidak datang tanpa kegagalan. Tetap berpijak di bumi nyata dan terus capai impian,” katanya.
Dalam pada itu, ada pengguna media sosial yang tertanya-tanya sama ada ibu mereka turut mempunyai latar belakang dalam bidang penerbangan.
Menjawab persoalan tersebut, wanita itu memaklumkan ibunya juga pernah berkhidmat sebagai pramugari selama 15 tahun sekitar era 1990-an.
“Ibu juga seorang pramugari selama 15 tahun sekitar tahun 90-an. Sudah banyak kali beliau terbang bersama keluarga. Saya pasti dia okay,” katanya.
Perkongsian itu meraih hampir jutaan tontonan apabila ramai netizen meluahkan rasa kagum melihat tiga beranak bertugas dalam penerbangan yang sama.
“Nak tahu macam mana si ayah (kapten) didik anak sampai boleh kerja bidang penerbangan juga,” komen @aidilazuar89.
“Seronoknya satu famili kerja dalam syarikat penerbangan sama,” ujar @hayaakhir.
“Wah keluarga geng awan, dah boleh buka syarikat penerbangan baru,” seloroh @azwansuroto. -KOSMO! ONLINE














