fbpx
SALAH menjadi harapan penting Mesir untuk memperkuat jentera serangan bagi membolehkan mereka memburu kemenangan ke atas Australia. - AFP

Piala Dunia 2026: Salah kembali legakan Mesir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DALLAS – Mesir menerima berita melegakan menjelang aksi pusingan kalah mati berdepan Australia di Stadium Dallas pagi esok selepas pemain bintang mereka kembali menjalani sesi latihan.

Kapten Mesir, Mohamed Salah sebelum ini meresahkan kem Mesir apabila gagal menamatkan perlawanan ketika mereka terikat 1-1 menentang Iran menyebabkan dia tidak dapat disahkan dapat beraksi atau tidak pada pusingan 32 kali ini.

Bagaimanapun, bekas pemain Liverpool itu dilihat kembali menyertai sesi latihan pasukan selepas pulih daripada kecederaan ringan pada bahagian hamstring sekali gus bersedia untuk diturunkan.

Persatuan Bola Sepak Mesir memuat naik gambar pemain itu dalam media sosial yang memperlihatkan Salah kelihatan ceria menjalani latihan pasukan di Spokane dengan kapsyen ‘The King is back’ (Sang Raja kembali).

Kepulangan Salah memberikan suntikan semangat yang amat diperlukan buat Mesir yang berjaya mara ke pusingan kalah mati buat kali pertama selepas menamatkan saingan di tempat kedua kumpulan dengan lima mata di belakang Belgium yang muncul juara kumpulan menerusi kelebihan perbezaan gol.

Pemain berusia 34 tahun itu memainkan peranan penting dalam kempen Mesir setakat ini dengan menjaringkan satu gol dan mencatatkan dua bantuan gol (assist).

Sementara itu, Ketua Jurulatih Mesir, Hossam Hassan dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk menurunkan Omar Marmoush dalam kesebelasan utama bagi perlawanan menentang Australia.

Selain Salah, Marmoush menjadi sandaran Mesir untuk membentuk gandingan terbaik di bahagian serangan untuk memburu jaringan untuk mereka melunaskan misi layak ke pusingan 16 terbaik. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN