ARLINGTON — Ketua Jurulatih Argentina, Lionel Scaloni memberi amaran kepada para pemainnya supaya tidak memandang rendah lawan mereka di pusingan 32, Cape Verde.
Pasukan bertaraf bintang kendalian Scaloni akan berdepan negara kepulauan itu selepas Cape Verde mencipta sejarah sebagai negara dengan jumlah penduduk paling kecil yang pernah mara ke peringkat kalah mati dalam Piala Dunia.
“Cape Verde tidak mengejutkan saya kerana mereka sebuah pasukan yang bagus. Mereka lawan yang sukar, telah menyukarkan Sepanyol, selain memberi tentangan hebat kepada Uruguay dan Arab Saudi. Mereka pasukan yang pantas dan mempunyai kualiti.
“Kami sentiasa memberi tumpuan kepada permainan sendiri. Mana-mana lawan tetap sukar. Kami perlu cuba memberi tekanan maksimum kepada lawan menggunakan kekuatan terbaik yang kami miliki,” katanya.
Argentina bakal turun dengan reputasi cemerlang apabila menang kesemua tiga aksi peringkat kumpulan dengan meledak lapan gol dan enam daripadanya berjaya disumbangkan oleh bintang sensasinya, Lionel Messi, manakala hanya bolos sekali.
Messi akan terus menjadi sandaran La Albiceleste untuk merobek gawang Cape Verde ketika pemain itu juga mempunyai misi tersendiri memburu Anugerah Kasut Emas serta penjaring terbanyak sepanjang zaman di Piala Dunia.
“Kami telah mencapai sasaran pertama, iaitu mara ke pusingan seterusnya, dan kini kami mahu melangkah lebih jauh. Kami akan membuat persiapan rapi untuk perlawanan menentang Cape Verde,” kata penggempur Argentina, Lautaro Martinez. – AGENSI














