MELAKA – Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) akan memperketat pemantauan terhadap semua operator pengurusan jenazah di negeri ini menerusi pengenalan garis panduan dan sistem pendaftaran bagi memastikan perkhidmatan yang ditawarkan lebih telus serta tidak membebankan waris.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, langkah itu diambil susulan timbul dakwaan terdapat operator yang menawarkan perkhidmatan secara percuma, namun kemudian mengenakan bayaran kepada waris selepas urusan pengurusan jenazah selesai.
Menurut beliau, semakan awal mendapati terdapat pengusaha yang beroperasi tanpa pengetahuan JAIM dan tidak berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).
“Kita memandang serius perkara ini dan pengurusan jenazah tidak sepatutnya menimbulkan kekeliruan atau rasa tertipu dalam kalangan waris.
“Selepas ini kita akan membuat semakan dan memastikan operator pengurusan jenazah berdaftar bukan sahaja dengan ROS, malah turut berdaftar dengan JAIM supaya kita dapat mengesyorkan penyedia perkhidmatan yang memenuhi syarat kepada orang ramai,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Guru dan Anugerah Kecemerlangan Akademik Sekolah Rendah Agama JAIM di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Rahmad berkata, ketelusan perlu menjadi keutamaan dalam setiap urusan pengurusan jenazah, khususnya berkaitan bayaran yang dikenakan kepada waris.
“Kalau mahu mengenakan caj, maklumkan lebih awal, kalau kata percuma, maka percumalah dan jika waris ingin memberi sumbangan secara sukarela, itu hak mereka. Tetapi jangan memaklumkan percuma pada awalnya, kemudian menetapkan bayaran selepas urusan selesai, kerana perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku,” katanya.
Menurut beliau, JAIM juga akan mengadakan perbincangan bersama penyedia perkhidmatan pengurusan jenazah bagi menetapkan kadar caj yang bersesuaian sekiranya bayaran dikenakan, sekali gus mengelakkan sebarang salah faham atau eksploitasi terhadap waris.- KOSMO! ONLINE














