PETALING JAYA – Lima warden Penjara Taiping akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Taiping, Perak esok atas pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap tiga banduan dalam insiden yang berlaku di penjara itu pada Januari tahun lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk M. Kumar berkata, keputusan tersebut diambil selepas siasatan menyeluruh yang dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) insiden tersebut telah selesai.
Katanya, kertas siasatan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara sebelum dikembalikan pada 29 Jun lalu dengan arahan supaya lima warden berkenaan didakwa mengikut beberapa peruntukan Kanun Keseksaan.
“Seorang warden akan didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan.
“Dua lagi warden akan didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama kerana dengan niat bersama sengaja menyebabkan kecederaan.
“Selain itu, dua lagi warden akan didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kerana dengan niat bersama sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, pertuduhan terhadap lima warden terbabit melibatkan tiga mangsa yang mengalami kecederaan dan akan dibuat di Mahkamah Majistret Taiping pada pukul 9 pagi esok.
Beliau berkata, sebelum ini pada 19 Disember 2025, seorang warden penjara telah didakwa di Mahkamah Majistret Taiping mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan atas kesalahan menyebabkan kematian tanpa niat membunuh berkaitan insiden sama.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau memanipulasi fakta memandangkan prosiding pertuduhan dan perbicaraan jenayah akan bermula bagi menghormati prinsip keadilan jenayah di negara ini.-KOSMO! ONLINE














