BAGAN DATUK – Laporan bedah siasat ke atas kanak-kanak lelaki yang ditemukan dalam sebuah parit di kawasan kebun kelapa sawit di Sungai Sumun, Hutan Melintang semalam, mendapati punca kematian disebabkan lemas.
Ketua Polis Daerah Bagan Datuk, Superintenden Mohammad Ali Mohd Jali berkata, keputusan itu diperoleh selepas proses bedah siasat yang dijalankan oleh pakar patologi Hospital Teluk Intan.
Katanya, pemeriksaan turut mengesahkan tiada sebarang kesan kecederaan fizikal pada tubuh mangsa atau petunjuk yang menunjukkan wujud unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR).
Menurut beliau, pihaknya menerima laporan kehilangan mangsa berusia enam tahun yang merupakan seorang kanak-kanak istimewa (autisme) pada pukul 4.54 petang.
Terdahulu media melaporkan, mayat seorang kanak-kanak Muhammad Faith Fatih Abdullah Fattah ditemukan orang awam selepas operasi pencarian digerakkan pasukan penyelamat bagi mengesan mangsa. – KOSMO! ONLINE














