MALAYSIA terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara destinasi utama sukan permotoran dunia apabila kontrak penganjuran Kejuaraan Motosikal Malaysia (MotoGP) disambung bagi tempoh lima tahun lagi bermula 2027 hingga 2031.
Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata, pembaharuan kontrak yang mendapat kelulusan Jemaah Menteri itu membuktikan keyakinan pemegang hak MotoGP terhadap kemampuan Malaysia menganjurkan perlumbaan bertaraf dunia secara konsisten sejak lebih tiga dekad lalu.
Menurut beliau, pembaharuan tersebut bukan sekadar memastikan Malaysia terus kekal dalam kalendar MotoGP dunia, sebaliknya menjadi pelaburan strategik yang mampu merancakkan pertumbuhan ekonomi, pembangunan industri dan melahirkan lebih ramai bakat sukan permotoran negara.
“Malaysia telah membuktikan penganjuran yang sangat hebat dan teratur. Dunia sendiri percaya dengan penganjuran kita berdasarkan rekod prestasi hampir 30 tahun.
“Setiap tahun bukan sahaja jumlah penonton meningkat, tetapi aspek teknikal dan kualiti penganjuran juga ditambah baik. Itulah yang membina kepercayaan untuk kita mendapat kontrak selama lima tahun lagi,” katanya pada Majlis Sidang Media hari ini.
Dalam masa sama, Taufiq menyatakan tempoh kontrak baharu itu perlu dimanfaatkan sebaik mungkin bagi memastikan Malaysia bukan sekadar menjadi tuan rumah perlumbaan, malah mampu melahirkan lebih ramai pelumba bertaraf dunia.
“Buat masa ini fokus diberikan kepada Hakim Danish, tetapi ia perlu bermula dari peringkat akar umbi. Selepas Hakim Danish, kita ada Qabil Irfan dan atlet-atlet junior lain yang sedang kita bangunkan di bawah ZK Racing, SIC dan KBS.
“Kita mahu pastikan mungkin selepas ini ada 10 atau 20 orang ‘Hakim Danish’ yang hebat untuk mewakili negara di peringkat antarabangsa,” katanya.

Beliau turut memberi jaminan kerajaan akan terus memastikan pembangunan pelumba tempatan berjalan secara konsisten menerusi penyediaan dana, kemudahan latihan dan sokongan menyeluruh agar kejayaan yang dicapai bukan bersifat sementara.
“Kita bekerjasama rapat dengan semua pihak kerana memastikan keperluan pelumba dipenuhi adalah sangat penting. Sokongan KBS bukan sahaja melalui dana, tetapi juga fasiliti di bawah SIC untuk latihan yang mencukupi.
“Kita akan sentiasa memantau konsistensi ini supaya ia bukan sekadar pasang surut, sebaliknya menjadi pelaburan jangka panjang untuk melahirkan lebih ramai atlet sepanjang lima tahun penganjuran MotoGP ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Shafriman Hanif menjelaskan kos keseluruhan penganjuran MotoGP bagi tempoh lima tahun dianggarkan berjumlah RM457 juta dengan pembiayaannya ditanggung secara bersama antara kerajaan dan SIC, selain pelaburan tersebut terbukti memberi pulangan yang jauh lebih tinggi kepada negara.
“Kita telah mengadakan kajian impak dan pada tahun 2024 pulangan pelaburan atau ROI yang direkodkan adalah sebanyak 6.3 kali ganda. Sebagai contoh, jika kita melabur RM100 juta, pulangannya dianggarkan mencecah RM630 juta.
“Pulangan itu bukan hanya daripada jualan tiket, tetapi turut mengambil kira kesan limpahan kepada sektor hospitaliti, logistik, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), makanan dan minuman, cukai serta peluang pekerjaan,” jelasnya.
Sebagai rekod, MotoGP Malaysia yang mula dianjurkan pada 1991 sebelum berpindah ke Litar Antarabangsa Petronas Sepang (SIC) pada 1999 kini menjadi antara acara sukan terbesar di Asia Tenggara apabila kajian impak ekonomi mendapati edisi 2024 menjana kira-kira RM694 juta kepada ekonomi negara selain mewujudkan lebih 4,400 peluang pekerjaan. KOSMO! ONLINE














