PUTRAJAYA – Peguam kepada Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyifatkan penangguhan keputusan oleh Mahkamah Persekutuan hari ini sesuatu diluar jangkaan.
Menurut Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Syed Saddiq selain diluar jangkaan ia juga merupakan pertama kali dalam amalan guamannya.
“Ini adalah sesuatu yang tidak pernah berlaku (unprecedented). Pertama kali dalam amalan (guaman) saya dan pertama kali dalam pengalaman saya,” kata peguam itu.
Hisyam berkata, keputusan itu dimaklumkan oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais yang memberitahu penghakiman sudah siap, namun tidak dapat dibacakan hari ini kerana salah seorang daripada panel hakim tidak sihat.
Terdahulu keputusan berhubung rayuan pendakwaan terhadap pembebasan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq yang sepatutnya diketahui semalam hditangguh ke 13 Julai depan.
Ia berikutan apabila salah seorang hakim dalam panel cuti sakit iaitu pada hari ini dan esok. Hakim tersebut ialah Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali.
Perkara itu dimaklumkan Abu Bakar yang mengetuai panel yang mana beliau adalah satu-satunya hakim yang berada pada prosiding berkenaan.
Abu Bakar berkata, beliau dan seorang lagi hakim, iaitu Datuk Collin Lawrence Sequerah berada di mahkamah tetapi Che Mohd. Ruzima tidak bersama kerana mereka diberitahu lewat petang semalam bahawa beliau tidak sihat dan bercuti sakit selama dua hari bermula hari ini. –
Sebelum ini, pihak pendakwaan telah memfailkan petisyen rayuan di Mahkamah Persekutuan dengan 28 alasan antaranya bagi mengembalikan semula sabitan dan hukuman Mahkamah Tinggi yang diketepikan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan.
Syed Saddiq dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan terhadap keempat-empat pertuduhan menerusi keputusan sebulat suara panel tiga hakim yang diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim. – KOSMO! ONLINE














