PETALING JAYA – Pembukaan Laluan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Shah Alam mula menunjukkan impak positif apabila ramai pengguna jalan raya berkata kesesakan trafik di beberapa laluan utama, khususnya di Shah Alam, semakin berkurangan.
Perkongsian mengenai pengalaman itu mula membanjiri media sosial Threads sejak pagi tadi dengan ramai menyifatkan perjalanan ke tempat kerja kini lebih singkat berbanding kebiasaan.
Seorang pengguna, @adlshhra, berkata dia kini hanya mengambil masa kira-kira 25 minit untuk tiba di pejabat walaupun sebelum ini perjalanan sejauh 17 kilometer boleh mengambil masa hampir sejam akibat kesesakan.
“Berfungsi betul lah LRT3 ni. Shah Alam tak jem dah. Gerak pukul 8.15 pagi, 8.40 dah sampai pejabat. Selalu 17 kilometer sejam,” tulisnya.
Perkongsian itu menerima lebih 1,300 tanda suka selain ratusan komen daripada pengguna lain yang berkongsi pengalaman sama.
Seorang lagi pengguna, @cacafauzi, memaklumkan dia turut menikmati penjimatan masa perjalanan sekitar 10 hingga 15 minit berbanding kebiasaan.
“Betul. I pun dapat cepat 10 hingga 15 minit dari biasa. Syukur sangat kalau trend ni berterusan,” katanya.
“Harini kita naik LRT 3 from Johan setia. Rasa nak nangis sebab dah tak penat nak hadap jem lepasni. Jimat RM600. Alhamdulilah,” komen pengguna lain dikenali @BeayBahrin pula.
Pengguna lain pula berpendapat pengurangan kesesakan itu membuktikan pengangkutan awam yang cekap mampu mengurangkan kebergantungan terhadap kenderaan persendirian.
“Patutlah kebelakangan ini dari Ampang ke Shah Alam pagi-pagi tenang saja. Ingat orang kerja dari rumah. Rupanya LRT3 dah beroperasi,” kata Raisya.
“Betul, Lebuh Raya Persekutuan ‘clear’ gila pagi tadi, harap berterusan!,” komen Tisya.
LRT3 Shah Alam yang menghubungkan Bandar Utama dengan Johan Setia mula beroperasi kepada orang ramai bermula semalam selepas dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Laluan sepanjang 37.8 kilometer itu mempunyai 20 stesen yang menghubungkan Petaling Jaya, Shah Alam dan Klang serta dijangka memberi manfaat kepada kira-kira dua juta penduduk di koridor berkenaan. Sempena pembukaannya, tambang percuma ditawarkan sehingga 31 Julai ini. – KOSMO! ONLINE














