IPOH – Tindakan saman terhadap beberapa kenderaan di sekitar Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Jalan Raja Ashman Shah, di sini bukan disebabkan kekurangan ruang parkir semata-mata sebaliknya kerana kereta diletakkan di kawasan larangan.
Ia menyebabkan laluan ambulans dan pergerakan kenderaan kecemasan terhalang oleh tindakan segelintir pengunjung hospital berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, Datuk A. Sivanesan berkata, isu itu tercetus selepas seorang individu memuat naik sebuah video mempersoalkan tindakan saman terhadap kenderaan yang diletakkan berhampiran kawasan hospital.
“HRPB merupakan hospital terbesar di Perak dengan kapasiti 1,173 katil serta kadar penggunaan melebihi 85 peratus, selain menerima jumlah pesakit, pelawat dan kakitangan yang tinggi setiap hari.
“Hospital berkenaan mempunyai seramai 5,135 petugas tetap dan kontrak, namun hanya menyediakan 1,323 lot parkir iaitu 645 lot untuk staf dan 678 lot bagi orang awam,” katanya pada sidang akhbar, di sini hari ini.
Beliau mengakui terdapat masalah kekurangan parkir di HRPB tetapi dalam kes ini tindakan saman bukan kerana pengguna tidak mendapat ruang meletakkan kenderaan, sebaliknya kerana meletakkan kereta di kawasan yang boleh membahayakan pengguna lain.
“Ada yang meletakkan kenderaan berhampiran laluan keluar masuk ambulans, kawasan perhentian bas dan lokasi yang boleh mengganggu pergerakan kecemasan,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan negeri sebelum ini telah berbincang dengan pihak polis supaya memberi kelonggaran kepada orang awam meletakkan kenderaan di bahu jalan secara teratur, selagi tidak menghalang lalu lintas.
Katanya, tindakan penguatkuasaan tetap perlu diambil terhadap pengguna yang melanggar arahan dan meletakkan kenderaan di lokasi kritikal.
Menurutnya, KKM telah meluluskan pelantikan sebuah syarikat bagi menguruskan parkir HRPB termasuk menyusun semula ruang sedia ada dan memperkenalkan sistem parkir mekanikal.
“Langkah tersebut dijangka meningkatkan kapasiti parkir daripada 1,323 lot kepada 1,678 lot untuk kegunaan kakitangan serta orang awam,” katanya.
Sementara itu, Sivanesan berkata, isu kemudahan hospital turut menjadi antara sebab keperluan pembinaan Hospital Kampar baharu perlu disegerakan.
Beliau berkata, Hospital Kampar kini berdepan masalah struktur serta tidak lagi sesuai dengan keperluan semasa, menyebabkan kerajaan negeri merayu Kerajaan Persekutuan mempercepatkan projek hospital gantian itu.
Menurutnya, Kementerian Kesihatan sebelum ini telah bersetuju dengan pembinaan hospital baharu berkenaan, selain 11 lot tanah telah dikenal pasti dengan bayaran sebanyak RM506,190 dibuat oleh Kerajaan Persekutuan. – KOSMO! ONLINE














