PETALING JAYA – Seorang bapa bertindak kreatif mengubah suai basikal biasa menjadi sebuah motosikal model ‘Ysuku’ demi menunaikan impian anak lelakinya.
Menerusi perkongsian video di Threads oleh Zahrasha2001, beberapa anggota polis dilihat terhibur dan kagum ketika memeriksa basikal unik milik seorang remaja berusia 13 tahun itu.
Menurut remaja itu, basikalnya diubah suai dengan menggunakan barangan kreatif termasuk ekzos daripada tin snek, tempat duduk yang diperbuat daripada papan komposit, serta hiasan lampu isyarat (signal) belakang.
“Sebab teringin sangat nak bawa motor ini (Ysuku) tapi tak boleh lagi. Ayah yang buatkan,” kata remaja berkenaan di dalam video tersebut.
Remaja itu turut menunjukkan demonstrasi fungsi komponen pada basikalnya yang dilengkapi sistem pendawaian lampu hiasan kepada beberapa anggota polis yang bertanya.
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata pengguna memuji daya kreativiti luar biasa bapa remaja tersebut serta menyifatkan usaha berkenaan sebagai satu bentuk ikatan kasih sayang yang sangat positif.
“Aku nampak bonding (ikatan) dia dengan ayah dia. Impak besar dalam cara anak bergaul dan tatasusila anak, dalam masa sama anak belajar skills (kemahiran) daripada ayah. Anak hebat, bapa hebat!,” puji Noraidazack0212.
“Dik, dah besar nanti ambil jurusan automotif, mesti boleh berjaya. Cuma jangan melajak dan jangan merempit ya,” ujar Zalinazanil. – KOSMO! ONLINE
View on Threads














