SHAH ALAM – Dua anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan rasuah sebanyak RM1,000 supaya tidak mengambil tindakan terhadap seorang lelaki tempatan dan tiga pendatang asing tanpa izin (PATI).
Tertuduh, Koperal Azizan Asmuni, 46, dan Lans Koperal Mohd. Ekbar Zamanhuri, 34, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin.
Azizan didakwa menerima suapan itu daripada lelaki tempatan berusia 26 tahun menerusi akaun bank, ketika melakukan rondaan di sebuah stesen minyak di Serdang pada 6 Disember 2023.
Mohd. Ekbar pula didakwa bersubahat memberikan maklumat akaun milik sebuah syarikat atas nama seorang wanita berusia 37 tahun, semasa melakukan rondaan dengan Azizan di lokasi dan pada tarikh sama.
Ia sebagai dorongan supaya tidak mengambil tindakan terhadap lelaki itu dan tiga PATI yang telah tamat tempoh lawatan sosial.
Semasa kejadian, kedua-dua tertuduh yang bertugas di Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Daerah Sepang dengan Mohd. Ekbar merupakan bekas atlet berbasikal kebangsaan.
Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.
Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd. Alimi Mustapha mencadangkan jaminan RM10,000 setiap seorang bersama seorang penjamin.
Selain itu, Mohd. Alimi turut mencadangkan syarat tambahan iaitu tidak mengganggu saksi pendakwaan, melapor diri di pejabat SPRM Selangor setiap bulan serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Peguam Mohd. Hafizuddin Khan Norkhan yang mewakili kedua-dua tertuduh merayu jaminan minimum dengan alasan anak guamnya merupakan pencari nafkah utama keluarga.
Menurutnya, Azizan yang berkhidmat sejak 2004 sudah berkahwin dan mempunyai enam anak dengan pendapatan RM2,000 sebulan.
“Manakala Mohd. Ekbar yang berpendapatan RM2,500 sebulan merupakan bapa tunggal tiga anak serta menanggung nafkah RM1,500 sebulan,” jelasnya.
Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dan membenarkan syarat tambahan pihak pendakwaan.
Sebutan semula kes ditetapkan 20 Julai ini.- KOSMO! ONLINE














