fbpx
Mohd. Alwi (tengah) ketika sidang akhbar di IPK Perak di Ipoh hari ini.

Polis kemas kini kertas siasatan lelaki fitnah Tok Batin sorok Jaslinda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

IPOH – Polis sedang mengemas kini kertas siasatan berhubung dakwaan berunsur fitnah yang dikaitkan dengan Tok Batin Kampung Lubuk Gaharu, Mohd. Asmadi Abdullah, 63, susulan penemuan pendaki Jaslinda Saludin, 49.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Alwi Zainal Abidin berkata, kertas siasatan itu akan diserahkan semula kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk arahan lanjut.

“Kertas siasatan telah dihantar kepada TPR sebelum ini, namun ada beberapa perkara yang perlu dikemas kini. Antara perkara yang diminta (kemas kini) adalah mendapatkan laporan daripada pihak forensik. 

“Jadi, kita masih menunggu jawapan forensik sebelum kertas siasatan dikemukakan semula kepada TPR untuk keputusan lanjut,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini hari ini.

Menurut beliau, lelaki berusia lingkungan 30-an itu dilepaskan dengan jaminan polis selepas direman selama empat hari.

Terdahulu, tular di TikTok mengenai dakwaan seorang lelaki kononnya Mohd. Asmadi ‘menyimpan’ Jaslinda sepanjang tempoh kehilangan wanita itu sebelum ditemukan penduduk Orang Asli di Kampung Lubuk Gaharu, Pos Musoh.

Dakwaan tidak berasas itu mendorong kira-kira 50 tok batin dan wakil masyarakat Orang Asli dari Batang Padang, Muallim dan Kinta membuat laporan polis bagi membantah fitnah yang tular terhadap Mohd. Asmadi.

Jaslinda yang hilang sejak 24 Mei lalu ketika menyertai aktiviti pendakian Trans Spencer Chapman di Gunung Batu Putih ditemui dalam keadaan selamat oleh penduduk Orang Asli pada 6 Jun lalu.

Dia dilihat berjalan seorang diri dalam keadaan lemah menyeberangi jambatan berhampiran sungai di Kampung Lubuk Gaharu sebelum dibawa ke rumah Mohd. Asmadi untuk diberi bantuan awal. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN