SHAH ALAM – Kerajaan Persekutuan perlu menyelesaikan isu pemilikan hak pelabuhan Pulau Carey, Kuala Langat dengan Peguam Negara susulan sebahagian besar urusan pemilikan tanah oleh kerajaan negeri Selangor telah diselesaikan.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri telah menyelesaikan pemilikan 1,011.7 hektar tanah serta 687.9 hektar tanah di dasar laut, sekali gus membuka laluan kepada tindakan seterusnya di peringkat Persekutuan.
“Pandangan daripada penasihat undang-undang dan Peguam Negara kelas bahawa tiada pelabuhan swasta diluluskan kepada kerajaan negeri, syarikat atau individu kerana pelabuhan mesti menjadi hak Kerajaan Persekutuan.
“Jadi, kita sedang menunggu keputusan Kerajaan Persekutuan berhubung hal ini kerana tanah kita (kerajaan negeri) sudah siapkan,” katanya pada sidang akhbar di lobi Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.
Amirudin berkata, kerajaan negeri sedang menunggu keputusan daripada kerajaan pusat sama ada untuk mengambil tanah yang dikenal pasti untuk membina pelabuhan berkenaan atau sebaliknya.
Menurutnya, sekiranya Kerajaan Persekutuan bersetuju perlu membelanjakan ratusan juta ringgit untuk memiliki tanah berkenaan. – KOSMO! ONLINE














