WANITA warga asing antara yang ditahan dalam Ops Kutip Bersepadu dijalankan Jabatan Imigresen serta beberapa agensi penguat kuasa lain di Pudu, Kuala Lumpur semalam. – ISKANDAR ISHAK

Gadis Lombok sakit tangan urut abang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Bekerja sehingga 12 jam sehari tanpa cuti, malah ada kalanya beroperasi selama 24 jam, namun keuntungan bersih yang diterima hanya sekitar RM2,000 sebulan.

Itulah realiti kehidupan dua wanita warga Indonesia yang bekerja sebagai tukang urut jalanan di sekitar Pudu, di sini sebelum dicekup dalam Ops Kutip dijalankan Jabatan Imigresen (JIM) semalam.

Mereka antara 186 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan dalam operasi bersepadu yang turut melibatkan beberapa agensi penguat kuasa lain di kawasan berkenaan.

Seorang daripada mereka yang hanya mahu dikenali sebagai Elsa, 31, berkata, dia sudah lebih lima tahun berada di Malaysia dan mencari rezeki sebagai tukang urut di kaki lima premis perniagaan di sekitar Pudu.

Wanita berasal dari Lombok itu berkata, meskipun bekerja lebih 12 jam sehari, pendapatannya tidak menentu kerana bergantung sepenuhnya kepada jumlah pelanggan yang datang mendapatkan khidmat urutan.

“Saya mula kerja kira-kira pukul 8 malam. Kadang-kadang kerja sampai 8 pagi esoknya, kadang bersambung sampai 8 malam untuk cukup 24 jam. Ada masa langsung tiada pelanggan, ada masa ramai.

“Sehari boleh dapat antara RM30 hingga RM150 sahaja. Kalau campur sebulan, untung bersih sekitar RM2,000 selepas tolak pelbagai kos,” katanya ketika ditemui Kosmo! Ahad dalam operasi tersebut semalam.

Elsa yang sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak lelaki berusia empat tahun di kampung halaman berkata, dia perlu membayar sewa tapak mengurut antara RM500 hingga RM1,000 setiap bulan.

Katanya, bayaran itu terma­suk penggunaan kerusi malas serta peralatan dan minyak urut yang digunakan ketika bekerja.

“Kalau buka 12 jam bayar tapak RM500, kalau 24 jam, RM1,000. Kami mengurut di tepi lorong kedai sahaja. Pelanggan ada warga tempatan dan warga asing. Semua bergantung kepada nasib,” ujarnya.

Sementara itu, seorang lagi tukang urut dikenali sebagai Mei, 23, berkata, dia datang ke Malaysia bersama ibunya kira-kira dua tahun lalu bagi mencari sumber pendapatan lebih baik.

Ujar wanita yang juga berasal dari Lombok itu, ibunya bekerja di sebuah kedai makan, manakala dia memilih menjadi tukang urut dengan menggunakan mo­dal sendiri untuk membeli pe­ralatan yang diperlukan.

“Saya boleh dapat kira-kira RM2,500 sebulan, tetapi masih perlu bayar sewa tapak dan kos lain.

“Kalau pelanggan ramai, pendapatan lebih baik. Kalau kurang pelanggan, memang susah,” katanya.

Mei berkata, antara pengalaman paling tidak menyenangkan sepanjang bekerja ialah apabila terdapat pelanggan yang cuba menawarkan wang tambahan untuk mendapatkan perkhidmatan seks.

“Saya memang tolak. Saya datang sini kerja urut sahaja,” katanya ringkas.

Berdasarkan kiraan purata waktu bekerja yang dikongsikan kedua-dua wanita itu, mereka boleh menghabiskan lebih 450 jam sebulan di lokasi urutan bagi menunggu pelanggan. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN