fbpx
PHILIP (tengah) menunjukkan sebahagian kraftangan yang dihasilkan menerusi projek Scrap2Fab untuk menyokong kelestarian alam sekitar.

Mengubah sisa penerbangan jadi produk kraf dan cenderahati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

USAHA kelestarian alam sekitar oleh syarikat korporat kini bukan sahaja dinilai berdasarkan prestasi perniagaan, malah keupayaan mereka mengurus sumber secara bertanggungjawab. 

Meskipun tidak melibatkan skala yang besar, keprihatinan dalam aspek kelestarian alam oleh syarikat korporat boleh memberi impak tersendiri bukan hanya pada pengurangan sisa tetapi juga kepelbagaian hasil seni dan kraftangan. 

Menyedari hakikat itu, Malaysia Aviation Group (MAG), syarikat induk kepada Malaysia Airlines, memperkenalkan projek Scrap2Fab sebagai salah satu inisiatif inovatif yang menggabungkan elemen kelestarian, ekonomi kitaran dan pembangunan komuniti. 

Menurut Ketua Pegawai Kelestarian Kumpulan MAG, Philip See, program ini membuktikan bahawa bahan buangan yang sering dianggap tidak lagi bernilai mampu diberikan nafas baharu melalui kreativiti dan inovasi. 

“Scrap2Fab dilancarkan pada 2023, bertujuan mengitar semula pelbagai bahan terpakai daripada operasi penerbangan MAG seperti pakaian seragam lama, jaket keselamatan yang telah tamat tempoh, majalah penerbangan, penutup kulit tempat duduk dan beg bagasi yang tidak lagi digunakan. 

“Bahan-bahan ini diproses semula menjadi produk baharu yang lebih praktikal dan mempunyai nilai komersial,” katanya ketika ditemu bual CitaRasa di Pejabat MAG, Citta Mall, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini. 

BEG tote yang dihasilkan daripada bahan kitar semula.

Tambahnya, apa yang menjadikan projek ini lebih istimewa ialah pendekatan inklusif yang digunakan oleh MAG. 

Pada peringkat awal pelaksanaannya, MAG bekerjasama dengan Komuniti Tukang Jahit (KTJ) serta Jabatan Penjara Malaysia bagi menghasilkan pelbagai produk kitar semula. 

Melalui kerjasama tersebut, peserta diberikan latihan dan peluang menjana pendapatan menerusi penghasilan produk berasaskan bahan buangan penerbangan. 

Jelas Philip, inisiatif ini secara tidak langsung membantu meningkatkan kemahiran jahitan dan keusahawanan dalam kalangan komuniti berpendapatan rendah serta penghuni penjara yang sedang menjalani proses pemulihan diri. 

“Pelbagai produk berjaya dihasilkan termasuk beg tote, beg silang badan, dompet kulit dan aksesori harian lain. 

“Produk-produk ini bukan sahaja mempunyai reka bentuk yang unik, malah membawa nilai sentimental kerana diperbuat daripada bahan yang pernah digunakan dalam operasi penerbangan sebenar,” ujarnya.

Kongsinya lagi, setiap produk mempunyai identiti tersendiri dan mencerminkan usaha mengurangkan pembaziran dalam industri penerbangan. 

Menurut laporan kelestarian MAG, projek Scrap2Fab terus berkembang pada 2024 dengan penambahbaikan terhadap reka bentuk produk serta proses pengeluaran. 

SETIAP produk mempunyai identiti tersendiri dan mencerminkan usaha mengurangkan pembaziran dalam industri penerbangan.

Pengalaman yang diperoleh sepanjang tahun pertama membolehkan MAG mengenal pasti produk yang mendapat sambutan tinggi di pasaran dan menumpukan kepada penghasilan item yang lebih tahan lama, praktikal serta berpotensi dipasarkan secara meluas. 

Sehingga penghujung 2024, program tersebut telah berjaya menghasilkan ratusan unit beg tote dan beg silang badan yang diperbuat daripada jaket keselamatan serta pakaian seragam lama. 

Lebih separuh daripada produk yang dihasilkan telah dijual, diedarkan melalui pelbagai acara atau diberikan sebagai cenderamata kepada tetamu kehormat MAG. 

Pencapaian ini menunjukkan bahawa konsep ekonomi kitaran bukan sahaja mampu mengurangkan sisa buangan, malah boleh menjana nilai ekonomi yang baharu. 

Sementara itu, Pengurus Organisasi Rekaan, Sharliza Shaari berkata, dari sudut alam sekitar, Scrap2Fab membantu mengurangkan jumlah sisa yang berakhir di tapak pelupusan sampah. 

“Dalam industri penerbangan yang sering dikaitkan dengan cabaran pelepasan karbon dan pengurusan sisa, inisiatif seperti ini memberikan contoh bagaimana syarikat boleh mengambil langkah proaktif untuk mengurangkan impak operasi terhadap alam sekitar. 

“Pada masa yang sama, projek ini menyokong matlamat ESG (Environmental, Social and Governance) yang semakin menjadi keutamaan dalam sektor korporat global,” katanya.

Ujarnya lagi, Scrap2Fab melangkaui program kitar semula, ia mencerminkan komitmen MAG untuk mewujudkan manfaat sosial yang berkekalan. 

Dengan menggabungkan aspek pemerkasaan komuniti, pembangunan kemahiran dan perlindungan alam sekitar, projek ini membuktikan bahawa inovasi tidak semestinya bergantung kepada teknologi canggih semata-mata. 

“Sebaliknya, idea kreatif yang memanfaatkan sumber sedia ada mampu menghasilkan impak besar kepada masyarakat dan alam sekitar. 

“Scrap2Fab kini menjadi contoh bagaimana industri penerbangan boleh bergerak ke arah masa depan yang lebih lestari sambil mencipta peluang ekonomi baharu untuk komuniti setempat,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN