MEXICO CITY – Situasi bola mati menjadi fokus utama buat Korea Selatan untuk menghadapi aksi pertama Kumpulan A Piala Dunia menentang Republik Czech di Stadium Guadalajara, pagi esok.
Pengendalinya, Hong Myung-bo sendiri sudah melakukan langkah awal apabila mengambil keputusan untuk membuat sesi latihan secara tertutup dan dilaporkan memberikan fokus kepada situasi bola mati.
Myung-bo melihat situasi itu sebagai ancaman paling besar yang terpaksa dihadapi pasukannya ekoran kelebihan fizikal yang dimiliki oleh Rep. Czech apabila 10 pemain mereka memiliki ketinggian lebih 190 sentimeter (cm).
“Kami sengaja tidak menzahirkan strategi kami dalam situasi bola mati dan kami akan menilai pendekatan itu secara lebih terperinci. Kami akan menambah beberapa perkara yang diperlukan pasukan,” katanya merujuk kepada dua persahabatan menentang Trinidad and Tobago dan El Salvador.
Sepanjang sejarah penyertaan Korea Selatan di Piala Dunia 1986 hingga 2022, gergasi Asia itu bolos 62 kali di mana 16 jaringan yang mereka bolos terhasil menerusi situasi bola mati.
Bagaimanapun, mereka turut memiliki kepakaran dalam situasi bola mati apabila dalam tempoh berkenaan berjaya meledak 39 gol dan 15 jaringan adalah berpunca daripada hasil sepakan percuma.
Justeru, Korea Selatan meletakkan harapan besar dalam Piala Dunia kali ini kepada ‘kaki kanan’ Son Heung-min dan ‘kaki kiri’ Lee Kang-in yang dianggap tonggak berpengaruh untuk membawa mereka mara lebih jauh.
Kehebatan Heung-min dalam melakukan sepakan percuma tidak perlu dipertikai, manakala Kang-in juga mampu mengubah rentak perlawanan melalui situasi bola mati.
Namun, sejauh mana pasukan dapat meningkatkan keberkesanan pelbagai kombinasi permainan yang memanfaatkan sepakan sudut dan sepakan percuma dianggap sebagai faktor penting menentukan sejauh mana perjalanan pasukan itu. – AGENSI














