KUALA LUMPUR – Seramai 30 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen (JIM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) menerusi Ops Belanja dan Ops Selera yang dijalankan di sekitar Maluri, Pantai Dalam dan Segambut Dalam di sini hari ini.
JIM WPKL dalam satu kenyataan memaklumkan, operasi bersepadu itu dijalankan dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) serta Bahagian Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Operasi yang bermula pada pukul 12.45 tengah hari itu melibatkan 30 pegawai penguat kuasa dengan pemeriksaan tertumpu di 16 premis perniagaan yang disyaki menggaji atau dikendalikan warga asing.
“Seramai 43 individu diperiksa sepanjang operasi berkenaan sebelum 30 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.
“Daripada jumlah yang ditahan, 29 adalah lelaki manakala seorang lagi wanita.
“Mereka terdiri daripada 19 warga Bangladesh, lima warga Indonesia, tiga warga India serta masing-masing seorang warga India, Pakistan dan Myanmar,” katanya di sini hari ini.
Wartawan Kosmo! yang turut mengikuti serbuan itu mendapati kebanyakan yang ditahan dipercayai gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah, tinggal melebihi tempoh dibenarkan atau menyalahgunakan pas lawatan yang diberikan.
Katanya, sebanyak enam Borang 29 turut dikeluarkan sepanjang tempoh pemeriksaan dan pemantauan dijalankan.
Jelasnya, operasi tersebut turut memberi tumpuan terhadap premis perniagaan yang terlalu bergantung kepada tenaga kerja asing sehingga menimbulkan rungutan dalam kalangan peniaga tempatan.
“Operasi seperti ini akan dipergiatkan susulan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya tindakan penguatkuasaan tegas diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang berhubung dakwaan pengambilalihan kegiatan perniagaan tempatan oleh warga asing.
“JIM akan terus mempergiat pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan aktiviti perniagaan tidak dimonopoli atau dikendalikan secara tidak sah oleh warga asing,” ujarnya.
Kesemua PATI yang ditahan dibawa ke JIM Kuala Lumpur untuk siasatan dan tindakan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63. – KOSMO! ONLINE














