KULIM – Keseronokan empat remaja mandi di kawasan bekas lombong pasir di Batu Berlarak, Kampung Lesong 7, Padang Serai dekat sini semalam berakhir duka apabila seorang daripada mereka dikhuatiri lemas.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.20 petang itu, mangsa, Muhammad Rayyan Fikri Mohd. Khairul Nizam, 15, dikatakan terkapai-kapai sebelum hilang di dalam kolam yang dianggarkan sedalam lebih lima meter.
Empat remaja terbabit yang berasal dari Sidam Kiri, Sungai Petani dikatakan ke kawasan tersebut selepas menemani mangsa menghantar pembesar suara ke rumah rakannya di Kampung Lesong 7.
Sebelum kejadian, mereka dikatakan mandi di Sungai Sidam Kiri, namun bertukar lokasi ke bekas lombong pasir yang terletak bersebelahan sungai selepas ditegur beberapa lelaki kerana mengganggu aktiviti memancing.
Bagaimanapun, tidak lama kemudian mangsa dilihat terkapai-kapai meminta pertolongan sebelum tenggelam dan hilang dibawa arus.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Syamsul Sinring mengesahkan kejadian yang membabitkan pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Lela Pahlawan, Padang Serai itu.
“Sepasukan pegawai dan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim Hi-Tech dibantu Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) menjalankan operasi pencarian di lokasi kejadian.
“Sehingga pukul 12 tengah malam tadi, mangsa masih gagal ditemui dan operasi ditangguhkan sebelum disambung semula pagi ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE














