PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Kesihatan (KKM) menyegerakan penyelesaian isu pengiktirafan graduan program Doktor Farmasi (PharmD) Universiti Alexandria, Mesir.
Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan arahan itu dibuat susulan aduan yang dikemukakan pelajar berhubung pengiktirafan kelayakan program tersebut bagi tujuan pendaftaran dan amalan profesional di Malaysia.
Menurut kenyataan itu, Agensi Kelayakan Malaysia tidak mempunyai halangan terhadap pengiktirafan akademik program berkenaan, namun pengiktirafan profesional bagi tujuan pendaftaran sebagai ahli farmasi memerlukan pertimbangan dan persetujuan Lembaga Farmasi Malaysia (LFM).
“Perdana Menteri telah mengarahkan KPT dan KKM supaya memberikan perhatian serta memuktamadkan penyelesaian terhadap isu ini dengan kadar segera demi kepentingan pelajar yang terlibat,” katanya.
Kedua-dua kementerian berkenaan diminta menyelesaikan isu tersebut secara tuntas selaras dengan prinsip Kerajaan Madanj tanpa menjejaskan standard profesional yang ditetapkan bagi bidang farmasi.
Terdahulu, media melaporkan empat pelajar program PharmD Universiti Alexandria tidak dibenarkan menduduki peperiksaan ‘Poison Law’ tahun lalu ketika berada di tahun keempat pengajian selepas program yang diikuti mereka belum mendapat pengiktirafan daripada LFM. – KOSMO! ONLINE














