SEREMBAN – Seorang ‘transporter’ meninggalkan 12 bungkusan dadah disyaki syabu seberat 14.4 kilogram bernilai RM744,000 yang disorok di dalam sebuah kereta selepas melarikan diri ke dalam belukar di Pengkalan Kempas, Linggi, Port Dickson semalam.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, sebelum kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu, polis telah mengejar suspek berusia 42 tahun yang menaiki kereta Perodua Myvi sejauh kira-kira enam kilometer.
Katanya, kenderaan dinaiki suspek berjaya dikesan di kawasan Tanjung Agas, Port Dickson sebelum polis mengejarnya sehingga kereta Proton Myvi itu terbabas.
“Suspek berjaya melarikan diri dan meninggalkan kenderaan itu di lokasi kejadian.
“Selain bungkusan dadah, polis turut menemui 100 kartrij cecair vape disyaki mengandungi dadah ketamin bernilai RM100,000 dalam kenderaan suspek,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan di sini hari ini.
Menurut Alzafny, suspek rakyat tempatan itu merupakan ‘transporter’ yang memperoleh bekalan dadah itu dari ibu negara dan menghantarnya kepada dua lagi suspek warga Indonesia yang berjaya ditahan polis.
“Maklumat mengenai suspek tempatan itu diperoleh selepas polis menahan dua lelaki warga Indonesia berusia 30 dan 34 tahun pada pukul 3 pagi semalam di dalam bot pancung di perairan Kampung Kuala Lukut, Port Dickson,” katanya. – KOSMO! ONLINE














