fbpx
Chee Gang (tengah) ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Balik Pulau, hari ini.

Penjara sehari, lesen digantung 5 tahun balasan tunjuk jari tengah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BALIK PULAU – Lelaki yang tular selepas menunjukkan isyarat lucah kepada seorang pengguna jalan raya baru-baru ini dihukum penjara sehari dan hilang kelayakan lesen memandu selama lima tahun.

Tertuduh, Tan Chee Gang, 37, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah di hadapan Majistret Chia Huey Ting di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan iaitu menunjukkan isyarat lucah dan memandu dalam keadaan berbahaya.

Mengikut pertuduhan pertama, pemandu lori itu didakwa menghina dengan cara menunjukkan isyarat lucah iaitu jari tengah kepada pemandu kereta berusia 59 tahun dengan niat untuk menyebabkan ketakutan kepada mangsa.

Kesalahan itu dilakukan di Jalan Tun Dr. Awang, kira-kira pukul 11.27 pagi, 28 Mei lalu.

Bagi pertuduhan itu, Chee Gang didakwa mengikut Seksyen 507B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang masih bujang turut didakwa memandu kereta Perodua Myvi dalam keadaan yang boleh membahayakan pengguna jalan raya lain di lokasi, masa dan tarikh sama.

Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan) 1999 dan boleh dihukum di bawah seksyen sama iaitu penjara tidak melebihi lima tahun dan denda maksimum RM15,000.

Timbalan Pendakwa Raya, Ikmal Affandi Zulkifli memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan orang awam kerana kesalahan itu boleh mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya lain.

Majistret Huey Ting kemudian menetapkan denda RM3,000 bagi kesalahan pertama dan RM5,000 untuk kesalahan kedua selain memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara sehari.

Selain itu, Chee Gang yang diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kerajaan turut hilang kelayakan memegang atau mendapat lesen memandu selama lima tahun.

Huey Ting menjatuhkan hukuman itu selepas menerima pengakuan salah dan rayuan Chee Gang bahawa dia sudah insaf selain faktor kepentingan awam.

Terdahulu, media melaporkan seorang lelaki tular selepas didakwa menunjukkan isyarat lucah dan mengeluarkan objek dipercayai besi di Jalan Tun Dr Awang pada 28 Mei lalu sudah ditahan polis.

Menerusi video berdurasi 58 saat itu, suspek yang memandu kereta Perodua Myvi dipercayai memotong kenderaan mangsa secara mengejut sebelum menunjukkan isyarat lucah.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN