fbpx
Antara anggota penyelamat yang terlibat dalam operasi SAR Jaslinda di Kem PGA Bidor di Tapah, hari ini.

Pencarian Jaslinda tumpu lokasi berdasarkan penemuan, maklumat baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TAPAH – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) skala kecil pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, yang hilang di Gunung Batu Putih, di sini sejak 24 Mei lalu akan memberi tumpuan kepada lokasi tertentu berdasarkan maklumat dan petunjuk baharu.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tapah akan menyelaras operasi SAR pada skala kecil berkenaan yang akan bermula esok.

“BBP itu akan mengumpul dan menilai sebarang maklumat terkini yang diterima daripada masyarakat setempat, komuniti Orang Asli dan malim gunung Perhutanan yang masih menjalankan operasi pencarian.

“Kita memerlukan maklumat-maklumat baharu dan sebarang penemuan terkini yang boleh membantu usaha pencarian,” katanya pada sidang akhbar, di sini hari ini.

Sabarodzi berkata, semua pergerakan pihak yang terlibat dalam operasi SAR itu selepas ini akan diselaraskan bersama Jabatan Perhutanan ekoran lokasi pencarian terletak di Hutan Simpan Kekal.

Mengenai operasi hari ini, beliau berkata, seramai lapan anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas bersama dua malim gunung masih berada di lokasi pencarian.

“Mereka akan meneruskan pencarian sehingga petang esok. Kumpulan itu sedang menjalankan pencarian di sektor berhampiran puncak Gunung Batu Putih yang dikenal pasti sebagai kawasan tumpuan terbaru,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pesawat Agusta 139 bagi SAR berkenaan selepas ini hanya akan digunakan sekiranya ada keperluan berdasarkan penemuan atau maklumat baharu yang memerlukan sokongan udara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN