BANDAR GUATEMALA – Sekumpulan pendaki berdepan detik cemas dan bertempiaran lari menyelamatkan diri selepas mereka dihujani ketulan lahar semasa sebuah gunung berapi meletus di Guatemala, lapor portal New York Post.
Kejadian di Gunung Fuego itu menyaksikan pendaki-pendaki panik dan cuba mengelak dihempap serpihan batu yang terbakar, ketika letusan kuat menghamburkan kepulan abu dan asap tebal ke udara.
Klip video tular yang dikongsi laman AccuWeather memaparkan jeritan panik seorang pendaki wanita yang menggesa rakan-rakannya menyelamatkan diri.
“Ya Tuhanku,lari lari,” jerit wanita itu ketika bunyi letusan bergema di kawasan sekitar.
Memetik laporan media tempatan NeedtoKnow, ketika ketulan batu membara mula menghujani laluan pendakian, seorang pelancong sempat menyambar seekor anjing yang berada di situ untuk dibawa ke tempat selamat.
Seorang pendaki, Hana Garcia berkata, batu lahar membakar jaketnya, selain hampir mengenai bahagian kepala.
“Gunung berapi ini tiba-tiba meletus dan saya sempat merakam sedikit visual. Bagaimanapun, saya terpaksa menghentikan rakaman kerana apabila mendongak ke langit, saya melihat batu-batu berapi mula menghujani kami.
“Pada saat itu saya seakan terkejut, dan kemudian saya mula berlari,” katanya.
Garcia menyifatkan insiden tersebut sebagai satu ‘pengalaman yang tidak akan dilupakan’ sepanjang hidupnya, meskipun mengaku dia sangat takut. – AGENSI














