PETALING JAYA – Ibu bapa diingatkan agar tidak memaksa anak-anak memasuki sekolah berasrama termasuk Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) sekiranya mereka tidak berminat.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, tindakan sedemikian boleh memberi kesan kepada emosi anak selain mencetuskan sikap memberontak.
“Jangan paksa jika anak tidak minat masuk sekolah asrama termasuk MRSM. Boleh jejas emosi anak, cetus sikap memberontak hingga terbawa-bawa kepada perlakuan tidak wajar,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook hari ini.
Sementara itu, seorang pengguna media sosial, Nor Hayati Abu Hassan turut bersetuju dengan pandangan tersebut.
“Setuju. Jangan paksa sebab yang akan menghadapi kehidupan di sana ialah anak, bukan kita. Tiada gunanya jika anak belajar dalam keadaan sedih kerana terpaksa, tidak seronok dan tertekan sehingga boleh mengganggu fokus pembelajaran mereka,” katanya. – KOSMO! ONLINE














