TAPAH – Tiada laporan aktiviti pendakian di Gunung Batu Putih tanpa kebenaran dilaporkan setakat ini selepas ditutup sementara oleh Jabatan Perhutanan Perak sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.
Pegawai Khas kepada Menteri Besar Perak bagi Hal Ehwal Masyarakat Orang Asli, Chew Ho Beng berkata, perkara itu dimaklumkan oleh Tok Batin yang tinggal di perkampungan berhampiran gunung tersebut.
“Biasanya mereka mendaki Gunung Batu Putih menggunakan akses empat buah perkampungan iaitu Kampung Orang Asli (KOA) Pos Gedung, KOA Ampang Woh, KOA Lubuk Gaharu dan KOA Pos Musoh di Tapah.
“Selain empat kampung itu pun boleh, tetapi laluan atau trek lebih mencabar. Namun saya terima laporan daripada semua Tok Batin bahawa tiada aktiviti pendakian dilakukan termasuk permohonan permit kebenaran,” katanya ketika ditemui di KOA Lubuk Gaharu di sini hari ini.
Terdahulu, Ho Beng bersama Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Perak/Kedah, Hairulnizam Ahmad dan Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr. Mah Hang Soon meninjau jambatan gantung yang uzur di perkampungan tersebut.
Difahamkan, Jakoa dalam peringkat akhir bagi pelaksanaan pembaikan jambatan tersebut selain tambahan infrastruktur lain seperti tangga untuk kemudahan lebih 100 penduduk termasuk memungut hasil hutan untuk jualan terutama petai dan durian.
Ho Beng turut berharap Orang Asli berhampiran Gunung Batu Putih dilatih sebagai malim gunung kerana lebih berpengalaman dan mahir selok-belok di kawasan tersebut sekali gus menjadi sumber pendapatan sampingan mereka.
“Saya berpendapat, setiap pendakian berkumpulan perlu disertai malim gunung Orang Asli. Ini merupakan salah satu aspek keselamatan penting selain mengelak kejadian yang berlaku ke atas Jaslinda Saludin yang hilang selama dua minggu berulang,” katanya.
Jaslinda, 49, ditemui selamat pada 6 Jun lalu oleh dua penduduk KOA Lubuk Gaharu semasa memancing ikan di sungai selepas hilang selama 14 hari ketika mendaki Gunung Batu Putih. – KOSMO! ONLINE














