IPOH – Kerajaan negeri Perak mempertimbangkan untuk memberi penghargaan kepada dua Orang Asli di Kampung Lubuk Gaharu, Tapah yang menemukan pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, yang hilang selama dua minggu sebelum ini di Gunung Batu Putih.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, secara ringkas, beliau masih belum menerima laporan secara rasmi berhubung perkara tersebut.
“Saya belum dapat apa laporan secara rasmi lagilah. insya-Allah kita tengok lagi.
“Sebab hendak kena tengok juga, takut nanti ramai orang mengaku pula kan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pelancaran Bulan Falak Peringkat Negeri Perak bagi Tahun 1448H/2026M di sini hari ini.
Berhubung jambatan gantung yang telah uzur di kampung tersebut, Saarani berkata, isu itu dibincangkan dalam mesyuarat Exco negeri semalam.
“Ada, semalam, kita bincang dalam mesyuarat Exco sebab itu jambatan gantung yang menghubungkan Orang Asli. Cuma ianya pernah dimohon oleh bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cenderiang, Datuk Dr. Mah Hang Soon.
“Dan tentu sekali bila setiap permohonan dilakukan, maka JKR dan juga UPEN akan terlebih dahulu melihat kepada justifikasi (keperluan),” katanya. – KOSMO! ONLINE














