DOHA – Satu letupan besar dilaporkan berlaku di sebuah hab gas utama di Qatar yang mengorbankan sekurang-kurangnya 13 orang, manakala 66 yang lain cedera, lapor laman berita Gulf News.
Insiden ini disifatkan antara kemalangan paling dahsyat pernah direkodkan di kemudahan tenaga rantau Teluk.
Menteri Tenaga Qatar, Saad Al Kaabi mengesahkan bahawa kesemua mangsa yang terkorban merupakan pekerja asing warganegara India dan Pakistan.
“Kami amat berdukacita atas kehilangan tragis 13 nyawa warga kerja kami yang memegang kewarganegaraan India dan Pakistan.
“Seramai 66 lagi mangsa cedera kini menerima rawatan perubatan dan tiada seorang pun berada dalam keadaan yang membahayakan nyawa,” katanya dalam satu kenyataan semalam..
Kementerian Dalam Negeri Qatar sebelum ini melaporkan bahawa letupan yang berlaku lewat malam Ahad lalu di Zon Industri Ras Laffan itu berpunca daripada ‘insiden teknikal’.
Siasatan lanjut dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Saad Al Kaabi turut menegaskan bahawa letupan itu tiada kaitan dengan unsur sabotaj atau serangan pihak luar. – AGENSI














