KLUANG – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mendedahkan beliau dihalang memasuki kawasan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) bagi menghadiri majlis penyerahan geran hak milik kepada peneroka sempena Sambutan Hari Peneroka Felda Negeri Johor 2026 baru-baru ini.
Beliau berkata, situasi tersebut menyebabkan majlis yang pada asalnya dijadual berlangsung di Felda Ulu Belitong pada 20 dan 21 Jun lalu terpaksa dipindahkan ke Dewan Datuk Onn, Rumah Komuniti Sembrong di Taman Sri Lambak, di sini hari ini.
“Sesungguhnya pada petang ini saya amat bersyukur kerana walaupun sepatutnya kita berjumpa dua hari lalu, diuji, disekat dan ditekan, namun dengan takdir Allah SWT kita tetap dapat berjumpa.
“Saya tertanya-tanya dan ternanti-nanti untuk berjumpa dengan satu kelompok yang kerajaan negeri anggap sebagai anak emas iaitu warga Felda,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Hak Milik Peneroka Felda di sini hari ini.
Onn Hafiz berkata, Felda sentiasa dianggap sebagai anak emas Johor dan kerajaan negeri akan terus memberikan perhatian terhadap kebajikan warga peneroka di 73 tanah rancangan di negeri ini.
Katanya, beliau terkejut apabila dimaklumkan tidak dibenarkan memasuki kawasan Felda bagi menyerahkan geran hak milik kepada peneroka.
“Rupa-rupanya nak serahkan hak milik peneroka dalam kawasan Felda pun saya tidak dibenarkan masuk. Pertama kali dalam sejarah hidup saya di Johor, Menteri Besar tidak dibenarkan masuk ke kawasan Felda. Namun saya tidak menyalahkan pihak pengurusan Felda dan saya percaya kita masih boleh mencari jalan lain demi kepentingan peneroka,” katanya. – KOSMO! ONLINE














