KEMAMAN – Operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) dua nelayan, Azan Muda, 68, dan Nordin Mohammad, 61, yang dikhuatiri hilang dalam insiden bot karam dipukul ribut di perairan Kemaman, dekat sini, pada minggu lalu diteruskan buat hari ketujuh hari ini.
Pengarah Maritim Zon Kemaman, Abdul Halim Hamzah berkata, operasi Carilamat itu berdepan cabaran kerana masih belum menemui sebarang petunjuk.
“Buat masa ini, kita masih belum mendapat petunjuk baharu atau penemuan objek berkaitan dengan insiden bot karam tersebut.
“Apa pun kita tetap bertungkus lumus melakukan pencarian kedua-dua mangsa,” katanya di sini hari ini.
Kosmo! Ahad 14 Jun lalu melaporkan dua nelayan iaitu Azan dan Nordin dikhuatiri hilang setelah bot dinaiki mereka karam akibat dipukul ribut pada kedudukan 51.67 kilometer pada pukul 12.30 tengah malam, 11 Jun lalu dari perairan Kemaman dekat sini.
Seorang lagi nelayan, Mahadi Jusoh, 51, yang terapung 11 jam di dalam laut pula diselamatkan sekumpulan nelayan sebelum dibawa ke Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuantan, Pahang.
Abdul Halim berkata, operasi pencarian telah diperluaskan kepada 93.34 kilometer (km) dari sekitar perairan Kemaman. – KOSMO! ONLINE














