fbpx
Antara warga asing yang ditahan dalam operasi penguatkuasaan khas di sekitar Selangor semalam. IHSAN JIM

62 warga asing disyaki salah guna pas, langgar syarat ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Jabatan Imigresen (JIM) menahan seramai 62 warga asing yang disyaki menyalahgunakan pas dan melanggar syarat pas yang telah diberikan oleh kerajaan.

Tindakan itu dibuat menerusi operasi penguatkuasaan khas di sekitar Cyberjaya, Bandar Seri Putra, Bandar Teknologi Kajang, Seri Kembangan, Sepang dan Dengkil, semalam.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi melibatkan seramai 30 pegawai itu dilaksanakan berdasarkan hasil risikan serta maklumat yang diterima daripada orang awam.

Menurutnya, sebanyak 17 premis telah diperiksa, meliputi kilang pembuatan perabot, kilang papan, kedai makan, kedai runcit serta kawasan penjaja yang dikenal pasti menjadi lokasi tumpuan warga asing.

“Hasil pemeriksaan ke atas 210 individu, seramai 62 warga asing telah ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Siasatan awal mendapati sebahagian daripada warga asing dipercayai telah menyalahgunakan kemudahan pas dengan menjalankan kerja atau aktiviti tidak selaras dengan tujuan asal kemasukan mereka ke negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam operasi yang sama, Zakaria berkata, sebanyak 11 borang saman kepada saksi turut dikeluarkan kepada majikan bagi membantu siasatan.

Katanya, kesemua warga asing yang ditahan telah dibawa ke Depot Imigresen Putrajaya untuk tujuan dokumentasi, siasatan dan tindakan lanjut.

“JIM akan terus memperkukuh operasi penguatkuasaan secara berterusan di seluruh negara bagi membanteras salah guna pas, penyalahgunaan kemudahan imigresen serta sebarang bentuk pelanggaran undang-undang imigresen,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN